NAMA Kamarul Sulaiman, 50 tidak perlu dipersoalkan lagi dalam kancah bola sepak tempatan.
Kelibatnya, setiap kali tampil beraksi dipadang acapkali menimbulkan kegerunan terhadap pasukan lawan.
Apatah lagi, dengan kelincahan selain keupayaan yang dimiliki selaku peledak gol.
Ia sekali gus tidak keterlaluan untuk meletakkan namanya antara legenda tersohor sepanjang zaman khususnya dalam kancah bola sepak di Bumi Kenyalang.
“Bermula era 80-an saya mula aktif dalam bola sepak tempatan. Memang banyak kenangan sepanjang tempoh bergelar pemain.
“Paling menarik ialah ketika membantu pasukan Tabuan Hilir muncul juara tiga kali berturut-turut (1987, 1988, 1989) yang menjulang Piala Sambir Express. Selain mengulangi detik sama membantu pasukan FCT muncul juara tiga kali berturut-turut (2001, 2002, 2003) di Kejohanan Bola sepak Perpaduan Kampung Sambir, Asajaya sekali gus menjulang Piala Ketua Menteri,” ujar Kamarul ketika mengimbas sepintas lalu perjalanannya sebagai seorang pemain.
Menurutnya, penglibatan tidak hanya di peringkat itu sahaja malah kejohanan berprestij yang dianjurkan badan induk, Persatuan Bola Sepak sarawak (FAS) iaitu Piala Sarawak turut tidak begitu asing bagi dirinya.
“Setiap kali adanya Piala Sarawak, saya memang tidak pernah terlepas bermain.
“Lain pula ceritanya dengan liga tempatan di beberapa bahagian, itu juga pentas bagi saya untuk menonjol,” tambah Kamarul lagi.
Pun begitu, Kamarul yang merupakan seorang guru disalah sebuah sekolah di Bandaraya Kuching ini pernah mewakili Sarawak untuk kempen Piala Razak pada 1987 dan Piala Presiden 1989.
Di samping itu, beliau sering kali mewakili Sarawak pada Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Peringkat Kebangsaan.
Ironinya, perubahan masa yang sukar dibendung memperlihatkan nama Kamarul Sulaiman tidak pernah lekang dibibir peminat atau rakannya.
Dalam situasi dirinya yang meniti detik lanjutan usia ketika ini, beliau memberi fokus terhadap bidang kejurulatihan.
“Ada pun terlibat dengan kejohanan ia untuk peringkat veteran sahaja. Yang pasti, sekarang saya lebih fokus kepada tugasan sebagai jurulatih bagi mengemudi pasukan yang bersaing dalam kancah liga tempatan,” katanya.
Oleh Faizal Bujang