SANTUBONG: Maybank Wilayah Sarawak menyumbangkan empat unit televisyen pintar (Smart TV) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong bagi menyokong transformasi pendidikan digital di sekolah berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kemudahan itu dijangka menjadikan suasana pembelajaran lebih interaktif, menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini.
“Dengan adanya Smart TV ini, suasana pembelajaran akan lebih interaktif, menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini.
“Kita tidak mahu anak-anak belajar di kampung ketinggalan. Jadi ini adalah kelebihan kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya ketika berucap pada Program Maybank Global CR Day 2026 dan Program Cabaran Cahaya Kasih 2026–2027 di SMK Santubong, di sini, hari ini.
Menurut Nancy yang juga Ahli Parlimen P193 Santubong, kerjasama antara Maybank dan Parlimen Santubong bukan perkara baharu apabila bantuan turut disalurkan kepada Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bandar Baru Semariang pada 2024 dan 2025 bagi menambah baik kemudahan serta keselesaan pembelajaran.
Katanya, setiap penerima manfaat akan dibimbing dan diberikan sokongan secara berterusan bagi memastikan manfaat yang diberikan lebih menyeluruh dan berkekalan.
“Jadi, ini adalah kesinambungan kerjasama dengan pihak Maybank. SMK Santubong dan PAKK Bandar Baru Semariang adalah antara yang terbaik di Sarawak ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata pendidikan sentiasa menjadi keutamaan sebagai Ahli Parlimen Santubong kerana mahu melihat anak-anak mendapat peluang dan akses pendidikan yang lebih baik.
Katanya, pendidikan membuka peluang kepada pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membantu sesebuah keluarga membina kehidupan yang lebih baik.
“Gunakanlah kesemua kemudahan dan peluang yang dicipta ini dengan sebaik mungkin. Jadikanlah pendidikan sebagai jalan untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga.
“Janganlah dijadikan tempat tinggal atau latar belakang keluarga sebagai penghalang. Saya yakin ilmu dan usaha yang berterusan mampu membantu anak-anak mencapai cita-cita yang diimpikan,” katanya.
Nancy turut menggesa ibu bapa supaya memberikan sokongan kepada anak-anak untuk meneruskan persekolahan, termasuk pelajar dari kawasan pesisir yang membantu keluarga dalam pekerjaan seperti perikanan.
“Kalau kita belajar lebih baik, mempunyai cita-cita yang tinggi, maka insya-Allah nak jadi nelayan pun boleh, tetapi nelayan yang moden dan berjaya,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman berjalan kaki sejauh tiga hingga empat kilometer ke sekolah rendah ketika zaman persekolahan sebagai antara pendorong untuk terus belajar sehingga ke universiti.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Maybank Wilayah Sarawak serta semua pihak yang menyumbang bakti, kewangan dan kepakaran dalam menjayakan program berkenaan.
Nancy turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada semua yang hadir.
Oleh Shikin Mahmud




