NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Kalender akademik untuk semua pelajar perlu ditundakan setahun bagi memudahkan semua pihak.
Guru di Brightway International School Mohd Zulfahmi Fayaz berkata, semua pelajar harus menghabiskan bangku sekolahnya pada usia 18 tahun.
“Bagi pendapat saya, untuk memudahkan semua pihak , kalender akademik untuk semua pelajar perlu ditundakan setahun.
“Ini juga membantu para pekerja untuk mencari pekerjaan lain selepas diberhentikan kerana wabak ini (Covid-19) dan mereka (pelajar) dapat memperlambatkan usianya untuk ke alam pekerjaan kerana mereka habis belajar pada usia 18 tahun dan secara tidak langsung ia memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan dahulu,” katanya ketika memberi maklum balas di laman facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semalam.
Ujarnya, semua orang tidak suka akan bencana ini melanda dunia tetapi sebagai manusia kita kena menghadapi dengan penuh kesabaran.
Sementara itu, Sivanes Nadarajah pula turut menyokong keputusan yang diumumkan oleh KPM.
“Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah keputusan untuk menentukan di mana kuliah selepas ini.
“Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hanya untuk menguji di mana anak kita berada dalam pelajaran.
“Saya seorang guru dan merasakan keputusan yang diambil oleh KPM ini sangat baik,” ujarnya.
Tarikh peperiksaan SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi tahun 2020 akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.
Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, untuk calon STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.
Manakala katanya, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.
“Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.