PETRA JAYA: Kakitangan Kumpulan Maybank Kuching mengadakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu mereka iaitu Memperkasakan Masa Depan Kanak-Kanak Miskin (B40) Melalui Pendidikan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Bandar Baru Semariang (PAKK) di sini, hari ini.
Menurut satu kenyataan, inisiatif ini melibatkan penajaan alat pendidikan penting kepada pusat tersebut.
“Selain menyumbang alat pendidikan, para sukarelawan Maybank juga telah mengecat dinding PAKK untuk mencipta suasana yang lebih ceria dan mesra di pusat tersebut.
“Projek ini bertujuan untuk mengurangkan jurang dalam peluang pendidikan dan memupuk semangat belajar dalam kalangan pelajar mereka.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Maybank dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti, khususnya dalam membantu kanak-kanak daripada golongan B40 untuk mencapai potensi penuh mereka,” katanya.
Dalam pada itu, di seluruh dunia, ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan, dan pekerja Maybank terlibat dalam pelbagai inisiatif seperti penubuhan panel solar, sokongan terhadap komuniti pertanian, pengajaran kemahiran hidup, perancangan pusat kitar semula dan penanaman pokok.
Untuk rekod, Hari Maybank Group CR Global yang diperkenalkan pada 2010 untuk memperingati 10 tahun perkhidmatan kewangan Maybank, telah melibatkan lebih 10,000 pekerja dan mencerminkan semangat berpasukan dalam program kesukarelawanan global.
Gambar
Kakitangan Kumpulan Maybank Kuching mengadakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Bandar Baru Semariang (PAKK) di Petra Jaya hari ini.