SIBU: Seorang kakitangan awam mengalami kerugian kira-kira RM39,463 selepas menjadi mangsa kes penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berumur dalam lingkungan 40-an tertarik dengan satu iklan di aplikasi Facebook menawarkan kerja sambilan pada Ogos lepas.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor yang tertera dalam iklan dengan suspek yang menggunakan nama Zoe melalui aplikasi WhatsApp berkenaan kerja yang ditawarkan.
Berminat dengan tawaran kerja tersebut, jelasnya, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk melakukan beberapa tugasan dan mangsa perlu menekan pautan https://tasteandfresh.com/ dan klik butang ‘like & submit’.
Mangsa kemudian konon akan diberikan komisen setelah tugasan selesai dibuat seperti ditetapkan.
“Suspek kemudiannya menawarkan kepada mangsa sekiranya mahu komisen lebih, mangsa dikehendaki menambah wang terlebih dahulu.
“Mangsa tertarik dengan tawaran tersebut dan bersetuju untuk membuat pembayaran bagi mendapatkan komisen yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak lima kali transaksi secara keseluruhan sejumlah RM39,463 ke dalam lima akaun tempatan berlainan.
“Setelah selesai membuat pembayaran tersebut, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan wang lagi sekiranya mahukan komisen tersebut.
“Mangsa cuba menghubungi suspek semula, namun mendapati panggilan pengadu telah disekat.
“Oleh itu mangsa hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis,” katanya.
Zulkipli menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Selain itu, orang ramai hendaklah membuat semakan terperinci dengan syarikat/ agensi yang berkaitan sebelum memohon/ menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan.
Katanya, untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/