BEKENU : Kajian dan penyelidikan sebagai usaha untuk meningkatkan hasil dan pendapatan pengusaha buah durian di negeri ini hendaklah diteruskan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian ketika ditemui di Stesyen Pertanian Kabuluh di Jalan Miri Bintulu petang kelmarin.
Katanya, ketika ini Jabatan Pertanian Sarawak sedang giat menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap pengeluaran buah durian yang berkualiti dengan hasil yang banyak dan mampu meningkatkan pendapatan kepada pengusaha buah durian.
Lawatan singkat ke Stesyen Pertanian Kabuluh itu bagi meninjau dan mendengar taklimat bahawa Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Sarawak kini berusaha untuk memastikan kuantiti dan kualiti pengeluaran buah durian dapat dipertingkatkan, jelasnya.
“Kalau sekarang satu pokok durian mengeluarkan 10 biji buah tetapi dengan adanya kajian dan penyelidikan mengguna teknologi ia boleh mengeluarkan 200 biji buah dalam satu pokok.
“Jika pendapatan dahulu RM100 tetapi sekarang akan boleh perolehi pendapatan sebanyak RM2,000,” katanya.
Tambahnya, idea itu bertujuan menggalakkan pengusaha dusun durian meningkatkan kuantiti dan kualiti buah durian.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau dan Pengarah Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet.
Oleh Adum Liu