Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kadar penyertaan PeKaB40 masih rendah, ProtectHealth akan rombak semula strategi
  • KESIHATAN

Kadar penyertaan PeKaB40 masih rendah, ProtectHealth akan rombak semula strategi

Utusan Sarawak 6 hours ago
KETUA Pegawai Eksekutif, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib menyampaikan ucapan pada Taklimat Media ProtectHealth di Block 2300 Century Square hari ini.

CYBERJAYA: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan menyusun semula strategi bagi program saringan kesihatan Skim Penjagaan Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) susulan kadar penyertaan yang masih rendah.

Hanya kira-kira 1.9 juta orang telah menjalani saringan daripada lebih tujuh juta penerima layak setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata agensi itu telah mengenal pasti beberapa kemungkinan kadar penyertaan rendah berkenaan, termasuk tahap kesedaran awam terhad, stigma terhadap label “B40” serta keengganan penerima untuk menjalani saringan kesihatan.

“Kami sedang mengkaji isu yang menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah dan mengapa mereka tidak menyertai program itu. Mungkin kerana usaha libat urus tidak mencukupi atau kerana orang ramai enggan menjalani saringan,” katanya kepada pemberita pada taklimat media, di sini hari ini.

Wan Mohd Hazwan berkata ProtectHealth merancang untuk menumpukan kempen akan datang yang menekankan aspek kesejahteraan keluarga dan kesihatan jangka panjang, memandangkan promosi saringan percuma semata-mata dilihat kurang berkesan untuk menggalakkan penyertaan kumpulan sasar. 

Beliau turut mengakui sebahagian penerima mungkin mengelak daripada menjalani saringan kerana bimbang akan mengetahui penyakit sedia ada serta kebimbangan terhadap kos rawatan susulan.

“Sesetengah orang lebih suka untuk tidak tahu. Jadi sekarang kita bukan hanya fokus kepada saringan, tetapi juga melihat kepada memperluas program ini kepada pengurusan penyakit bersama pengamal perubatan am,” katanya.

Wan Mohd Hazwan berkata peluasan program itu yang dijangka hujung tahun ini, mungkin merangkumi sokongan pengurusan diabetes peringkat awal dan keadaan pradiabetes melalui kerjasama dengan klinik swasta.

Dalam usaha meningkatkan penyertaan, ProtectHealth turut mengintegrasikan program ini dengan aplikasi MySejahtera bagi membolehkan pemberitahuan terus dan tempahan janji temu.

Pada masa yang sama, agensi itu telah menyemak semula kadar bayaran kepada pengamal perubatan am yang terlibat, dengan menaikkan yuran konsultasi daripada RM40 kepada RM50 bagi lawatan pertama dan daripada RM20 kepada RM40 bagi konsultasi susulan. 

Wan Mohd Hazwan berkata hampir 46 peratus daripada mereka yang menjalani saringan di bawah program itu didapati menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD), sekali gus mengukuhkan kepentingan memperluas usaha pengesanan awal dan intervensi.

Beliau berkata pada tahun ini program itu akan dijenamakan semula sebagai “Peka Sihat”, susulan kebimbangan bahawa label “B40” membawa stigma negatif dalam kalangan sesetengah penerima.

Program PeKa B40 dilancarkan pada 31 Mei 2019 sebagai inisiatif kerajaan bagi menangani keperluan kesihatan kumpulan berpendapatan rendah, khususnya mereka yang terjejas akibat NCD.

Program itu melibatkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas dengan penyertaan automatik yang tidak memerlukan sebarang pendaftaran.

Di bawah program itu, penerima layak berhak kepada empat manfaat utama, iaitu saringan kesihatan percuma, bantuan peralatan perubatan hingga RM20,000, insentif RM1,000 bagi pesakit yang menamatkan rawatan kanser, serta insentif pengangkutan hingga RM1,000.

Bagi menerima manfaat itu, individu yang layak boleh menyemak status melalui laman web ProtectHealth atau aplikasi MySejahtera sebelum mendapatkan saringan kesihatan percuma serta rawatan susulan di klinik swasta atau klinik kesihatan berdaftar yang mengambil bahagian. – Bernama

Continue Reading

Previous: Hipertensi rosak jantung golongan muda tanpa disedari 
Next: IJN hospital pertama di Malaysia guna system pembaikan injap jantung PASCAL Precision

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.