Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Hipertensi rosak jantung golongan muda tanpa disedari 
  • KESIHATAN

Hipertensi rosak jantung golongan muda tanpa disedari 

Utusan Sarawak 10 hours ago
HIPERTENSI rosak jantung golongan muda tanpa disedari . Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Tekanan darah tinggi kini bukan lagi hanya dikaitkan dengan golongan warga emas, dan pakar perubatan memberikan amaran bahawa semakin ramai golongan muda di Malaysia kini mengalami hipertensi dan tanda awal kerosakan jantung akibat amalan gaya hidup tidak sihat.

Di Malaysia, hampir satu daripada tiga orang dewasa menghidapi hipertensi, namun masih ramai tidak menyedari masalah kesihatan mereka, yang sering bermula tanpa sebarang gejala ketara dan membawa kepada kerosakan fungsi organ dalaman secara beransur-ansur.

Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC), Dr Gary Lee Chin Keong berkata, apabila tekanan darah kekal tinggi untuk satu masa yang lama, jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengedarkan darah ke seluruh badan.

Dr Gary berkata, jantung masih dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan itu, tetapi ia tidak memberikan manfaat dalam jangka panjang kerana tekanan darah tinggi yang berterusan menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya mengurangkan keupayaannya untuk mengepam darah dengan cekap.

“Satu daripada tanda awal adalah penebalan dinding jantung, khususnya ventrikel kiri iaitu apabila dinding otot semakin menebal, ruang untuk mengisi darah mengecil, dan jantung tidak berupaya menerima bekalan oksigen mencukupi. 

“Tekanan darah tinggi yang berterusan menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya mengurangkan keupayaannya untuk mengepam darah dengan cekap,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Gary berkata, LVH boleh berlaku tanpa sebarang symptom yang ketara ia hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan seperti ekokardiogram yang membolehkan doktor meniliti struktur jantung secara mendalam.

Beliau berkata, simptom seperti sakit dada, sesak nafas, dengupan jantung laju, pening atau pengsan sering dianggap berpunca daripada tekanan kehidupan, keletihan atau masalah penghadaman, menyebabkan ramai pesakit menyebabkan ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas komplikasi menjadi lebih serius.

Beliau berkata, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal akan meningkatkan lagi risiko kegagalan jantung, strok, serangan jantung, penyakit buah pinggang dan penyakit irama jantung.

Dr Gary berkata, peningkatan trend golongan muda didiagnosis dengan hipertensi dan penyakit jantung, sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup moden.

“Sekitar dua puluh tahun lepas, hipertensi sering dianggap sebagai masalah golongan berusia. Kini, saya merawat ramai pesakit yang hanya dalam lingkungan 20-an dan 30-an,” katanya.

“Trend ini disebabkan oleh tekanan kehidupan di tempat kerja mahupun di rumah, kekurangan waktu tidur berkualiti dan aktiviti fizikal, tabiat merokok serta pengambilan garam berlebihan dalam pemakanan seharian. Obesiti dan penyakit kencing manis turut meningkatkan risiko, yang disifatkan sebagai “gabungan berbahaya” dalam faktor risiko penyakit kardiovaskular,” katanya.

Dr Gary menggalakkan rakyat untuk mula mengenali dan mengambil berat bacaan tekanan darah mereka, seawal usia 20an.

Beliau berkata, pengesanan dan rawatan awal boleh membantu memperlahankan atau memulihkan sebahagian kerosakan pada jantung melalui ubat-ubatan, perubahan diet, senaman, kawalan berat badan, berhenti merokok, pengurusan tekanan kehidupan, serta pemeriksaan kesihatan berkala.

“Jangan menunggu kemunculan simptom sebelum menyedari masalah serius telah berlaku. Lebih awal anda mengesan keadaan tekanan darah tinggi, lebih tinggi peluang untuk melindungi jantung anda,” katanya. – Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: “Jika mahu hidup, ikut SOP selepas gigitan” – Stephen Rundi
Next: Kadar penyertaan PeKaB40 masih rendah, ProtectHealth akan rombak semula strategi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.