SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mencapai satu lagi pencapaian penting dengan kadar kebolehpasaran graduannya melebihi 96 peratus.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, mengumumkan berita gembira ini dalam ucapannya semasa majlis makan malam Konvokesyen Ke-9 UTS yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud malam tadi.
Katanya, pencapaian ini berdasarkan data terkini yang diperoleh dari Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Kadar kebolehpasaran graduan UTS berdasarkan data terkini telah melebihi 96 peratus. Tahniah kepada kita semua,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan industri UTS yang telah memberikan sokongan padu.
Dr Khairuddin menyatakan bahawa kejayaan universiti tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, tetapi juga berdasarkan pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak industri.
“Sokongan ini telah membolehkan UTS melahirkan graduan yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga bersedia untuk menyumbang kepada industri serta pembangunan Sarawak dan negara,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan pentingnya hubungan yang kukuh antara UTS dan sektor industri, terutamanya di Sibu, yang telah membantu universiti mencapai kejayaan ini.
Pada majlis tersebut, seramai 43 pelajar telah menerima pelbagai anugerah.
Anugerah tersebut termasuk Anugerah Kecemerlangan Industri yang ditaja oleh WTK Holdings Berhad, KTS Trading Sdn Bhd, dan Pansar Company Sdn Bhd; Anugerah Presiden BEM yang ditaja oleh Lembaga Jurutera Malaysia; Anugerah RISM (Institut Juruukur Diraja Malaysia); Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sarawak (Yayasan Sarawak); Anugerah Kepimpinan Cemerlang Hock Peng (Hock Peng Engineering Sdn Bhd) dan Anugerah Kecemerlangan Hock Peng (Hock Peng Engineering Sdn Bhd).
Lain-lain anugerah ialah Anugerah Kecemerlangan SHEF (Yayasan Pengajian Tinggi Sarawak); Anugerah Kecemerlangan Industri Caliphs Digital Group (Caliphs Digital Group Sdn Bhd); Anugerah Kecemerlangan Sarawak Energy (Sarawak Energy Berhad); Anugerah Kepimpinan Sarawak Energy (Sarawak Energy Berhad); Anugerah Kecemerlangan Akademik MELILEA (Kumpulan Syarikat MELILEA International); Anugerah Kepimpinan Cemerlang MELILEA (Kumpulan Syarikat MELILEA International); Anugerah Buku (Yayasan Pengajian Tinggi Sarawak, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce, Sarawak Energy Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad), dan Anugerah Kepimpinan Cemerlang (LEAd) Platinum.
Antara yang hadir ialah isteri Khairuddin, Datin Dayang Mariani Abang Zain, ahli Lembaga Pengelola UTS Roni Adrian, Timbalan Naib Canselor (Akademik) Prof Dr Mohammad Shahril Osman dan tetamu jemputan lain.
Oleh TARANI LANTING