BAU: Polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat dengan memotong kabel utama di sebuah pencawang elektrik milik Sarawak Energy di Kampung Apar, Singai di sini, pagi semalam, menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd. Haide A. Rahman berkata, kejadian dilaporkan kira-kira 8.48 pagi selepas pihak SESCO menerima aduan orang awam berhubung gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati kabel utama (main wiring) sepanjang kira-kira 20 meter telah dipotong oleh individu tidak dikenali.
“Siasatan awal mendapati pencawang tersebut merupakan milik Sarawak Energy dan kawasan berkenaan berpagar, namun tidak dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta tiada pengawal keselamatan.
“Suspek dipercayai menceroboh masuk melalui bahagian pagar yang rosak atau berlubang sebelum melakukan perbuatan khianat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun kabel berkenaan dipotong, ia tidak dibawa lari dari lokasi kejadian.
Katanya, kedudukan pencawang yang terletak kira-kira lima meter dari jalan utama dipercayai memudahkan pergerakan keluar masuk suspek.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kabel.
Mohd. Haide berkata, polis memandang serius perbuatan khianat terhadap kemudahan awam kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan penduduk setempat.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada pihak polis.




