ATLET Kabaddi dan pegawai daripada Malaysia akan mendapat manfaat daripada usaha India dan Persekutuan Kabaddi Antarabangsa (IKF) dalam mempromosikan sukan itu ke Sukan Olimpik.
Sebagai sebahagian daripada promosi dan pembangunan sukan kabaddi, Pihak Berkuasa Sukan India (SAI) baru-baru ini menganjurkan siri Program Pembangunan Jurulatih secara dalam talian untuk kabaddi dari 27 April sehingga 14 Mei.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) Ravindran Duraisamy berkata, kira-kira 500 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada webinar tersebut, dengan bahan-bahan telah dikongsikan melalui platform WhatsApp dan YouTube kepada keluarga kabaddi.
“Webinar tersebut amat berguna, ia satu kursus terbuka untuk semua orang, jadi kami (KAM) mengedarkan informasi tersebut kepada ahli-ahli, jurulatih, pemain atau pegawai. Menerusi kursus ini, kami telah mempelajari pelbagai perubahan dalam peraturan, teknik, kejurulatihan dan pembangunan sukan tersebut.
“Ini merupakan suatu yang amat berguna untuk jurulatih tempatan meningkatkan aras kedudukan kita. Saya meminta jurulatih kita untuk mendaftar dengan persatuan berkaitan di negeri atau berhubung dengan saya, kerana kita akan adakan program Zoom kita sendiri tidak lama lagi,” kata Ravindran yang juga naib presiden KAM kepada Bernama.
Antara perkara yang dibincangkan dalam webinar tersebut termasuklah, globalisasi dan mempromosikan kabaddi, taktik menyerang dan bertahan, persediaan psikologi pasukan dan pemain dalam situasi berbeza dan pengenalan bakat.
Selain negara Asia seperti Iran, Jepun, China, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Indonesia dan Thailand, sukan itu juga dimainkan di Sepanyol, Kenya, Kanada, Poland dan Argentina.
Kabaddi telah mula diminati dalam kalangan bukan India di Malaysia dengan pasukan Sarawak dan Terengganu dibarisi kesemuanya oleh atlet Melayu dan pribumi manakala Perlis, Kelantan dan Perak mempunyai atlet dari pelbagai bangsa dalam pasukan mereka.
“Saya rasa kita mempunyai bakat yang mencukupi, tetapi sokongan kewangan adalah masalah utama kita. Asia merupakan kuasa utama kabaddi. Pencapaian terbaik kita di Sukan Asia ialah tempat kelima pada 2014 di Incheon, selepas latihan pusat lima bulan dan latihan sebulan di Chennai, India, menerusi sokongan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Bagaimanapun pada sukan Asia Indonesia pada 2018, kami tidak mendapat sokongan daripada MSN dan menghadapi masalah kewangan. Kami hanya menjalani latihan pusat sebulan, dan terpaksa meninggalkan beberapa atlet terbaik akibat komitmen kerja mereka, kerana kami tidak mampu membayar elaun mereka.
“Untuk Sukan Asia yang akan datang, kami berharap akan menerima sokongan kewangan daripada kerajaan, jadi kami boleh menjalani latihan lebih panjang dan persediaan menjadi pencabar utama pingat. Kami tidak pernah menang pingat sejak kabaddi diperkenalkan pada Sukan Asia 1990 (wanita sejak 2010),” kata pengurus pasukan kabaddi Sukan Asia 2010.
Pada Sukan Asia 2018, pasukan lelaki Malaysia menamatkan saingan di tempat terakhir enam pasukan Kumpulan B, kalah kesemua perlawanan kumpulan, dengan Iran memecahkan penguasaan India pada tujuh edisi dengan memenangi pingat emas pertama mereka dalam kabaddi untuk lelaki dan wanita. – Bernama