JAWAB SOALAN … Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang juga Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen semalam. Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari sehingga 4 Ogos. •Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Pos Malaysia bersedia mempertimbangkan pelaksanaan perkhidmatan Pos Mini di daerah Julau dan Pakan, Sarawak bagi kemudahan penduduk di situ.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perkhidmatan Pos Mini didapati lebih sesuai untuk beroperasi di kawasan berpenduduk kurang padat seperti di daerah Julau dan Pakan yang mempunyai sekitar 34,000 penduduk.
Beliau berkata pada masa ini, terdapat sebuah pejabat pos di Julau, manakala pejabat pos berdekatan lain yang boleh diakses penduduk tempatan adalah seperti Pejabat Pos Sarikei, Pejabat Pos Bintangor dan Pejabat Pos Kanowit.
Selain itu, katanya sebuah pejabat pos bergerak iaitu Pos-on-Wheels Sibu beroperasi di daerah Pakan yang memberi perkhidmatan kepada beberapa kawasan seperti Sungai Sadit, Tulai, Rantau Panjang dan Masjid Hijrah.
“Sebagai makluman, Pos Mini dikendalikan oleh pengusaha bebas dan dapat membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan yang berminat dan menepati ciri-ciri kelayakan.
“Ledakan sektor e-dagang buat masa ini juga membuka potensi pendapatan kepada pengusaha Pos Mini melalui penjualan perkhidmatan yang berkaitan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai sama ada K-KOMM mempunyai perancangan untuk membina dan menambah lagi kemudahan pejabat pos di daerah Julau atau Pakan. – Bernama