KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menampilkan kelainan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan dengan mengetengahkan teknologi imersif iaitu teknologi yang mengaburkan batasan antara dunia nyata dan digital.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Mastura Ahmad Mustafa berkata pameran teknologi imersif yang menghasilkan lingkungan virtual tanpa batasan serta melibatkan interaksi fizikal pengunjung untuk menggunakannya, turut bertepatan dengan tema Jelajah AKM kali ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Keluarga Digital’.
“Penggunaan teknologi imersif ini adalah kali pertama dipamerkan oleh K-KOMM sempena Jelajah AKM Kelantan dalam berkongsi maklumat berkaitan K-KOMM termasuk agensi-agensi di bawah kementerian ini kepada pengunjung.
“Pemilihan teknologi ini bertepatan dengan hasrat kerajaan membawa negara ke arah pendigitalan sejajar dengan perkhidmatan rangkaian 5G yang bakal dinikmati rakyat secara berperingkat selewat-lewatnya September ini,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai K-KOMM di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Beliau berkata empat jenis teknologi imersif dipamerkan di reruai K-KOMM antaranya teknologi hologram yang memaparkan visual imej seorang lelaki pada skrin kaca berserta suara yang menyampaikan maklumat latar belakang serta peranan K-KOMM.
“Selain itu, pameran Buku Selak (Book Flip) turut disediakan yang mana ia memerlukan pergerakan tubuh manusia (motion gesture) untuk menukar halaman atau muka surat buku digital yang mengandungi maklumat berkaitan seperti 100 hari AKM, Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021,” katanya.
Pelbagai acara menarik menanti pengunjung sempena Jelajah AKM Kelantan yang berlangsung semalam hingga esok antaranya persembahan kesenian RIUHxJAKM Kelantan, Karnival Digital K-KOMM@JAKM, pertandingan Muay Thai antarabangsa dan ‘Bekwoh’ Keluarga Malaysia.
Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.- Bernama