- Manis, tanpa bahan pengawet
KUCHING: Jus nanas tanpa bahan pengawet mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai khususnya dalam kalangan warga Bandar Raya Kuching.
Rahsia kelazatan dan kesegaran jus buah ini adalah kerana nanas yang digunakan merupakan hasil tanaman nanas MD2, Kumpulan Ta Ann.
Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo berkata, jus nanas tersebut menjadi pilihan kerana mempunyai pelbagai kelebihan.
“Kelebihan jus nanas itu mempunyai rasa yang manis dan asli daripada nanas itu sendiri, tanpa ditambah gula. Malah, nanas tersebut bebas daripada racun perosak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pasar Tani Semula Jadi ke-19 yang diadakan sebulan sekali di pekarangan tempat letak kereta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini semalam.
Menariknya lagi, nanas MD2 juga boleh diproses menjadi tart nanas dan dijual di pasaran.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk mencuba jus nanas MD2 yang asli, boleh menghubungi 019-859 3989 dan 013-9328906.
Nanas mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi dan amat diperlukan untuk kesihatan seperti membantu menyembuhkan luka atau cedera di samping penyerapan zat besi ke dalam saluran darah.
Kandungan Vitamin B di dalam nanas terutamanya B1 (thiamin) berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan melancarkan proses pencernaan dalam usus manakala Vitamin B3 (niacin) bersama kandungan kabohidratnya dapat mengawal sistem penghadaman agar sentiasa sihat.
Di samping itu, kandungan potassium bersama-sama sodium di dalam nanas dapat mengawal imbangan air dalam tubuh manusia.
Nanas juga mengandungi sejenis enzim yang sangat berguna dalam sektor perubatan iaitu enzim Bromelin yang mana ia digunakan dengan meluas semasa pembedahan bagi mengawal pembengkakan, jangkitan dan menghalang pembekuan darah