
BAU: Seorang jururawat berusia 49 tahun kerugian RM6,770 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian ayam murah yang diiklankan melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata mangsa membuat laporan polis semalam selepas mendapati wang dalam akaun banknya telah dipindahkan tanpa kebenarannya.
Beliau berkata mangsa terlihat iklan jualan “Ayam Fresh Premium” di Facebook kira-kira 8.00 pagi ketika berada di rumahnya di Kampung Skio, Bau.
“Kerana berminat dengan tawaran tersebut, mangsa telah menghubungi penjual melalui WhatsApp. Mangsa pada mulanya diminta membuat pembayaran RM5 melalui pautan yang diberikan, namun transaksi itu gagal dilakukan.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi Delivery4U serta mengemas kini pilihan bayar semasa terima sebelum membuat pembayaran secara manual,” katanya.
Mohd Haide berkata mangsa kemudiannya menerima notifikasi daripada pihak bank yang memaklumkan akaunnya disekat sementara.
“Selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang berjumlah RM6,770 telah dipindahkan ke sebuah akaun bank milik seorang individu.
“Mangsa tidak pernah menerima ayam yang dibeli dan segala usaha menghubungi penjual gagal, menyebabkan mangsa percaya dirinya telah ditipu,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohd Haide menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati hati ketika membuat pembelian secara dalam talian, terutama apabila diminta memuat turun aplikasi yang tidak dikenali atau menekan pautan yang mencurigakan.
Beliau turut mengingatkan mangsa penipuan dalam talian supaya segera menghubungi National Scam Response Centre melalui talian 997 serta membuat laporan polis secepat mungkin.
Oleh Connie Chieng