SIBU: Seorang jurujual mendakwa kerugian RM43,150 apabila menjadi mangsa penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan dengan komisen lima kali ganda.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, wanita berusia dalam lingkungan 20-an telah menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp dan berminat untuk mendapatkan tawaran kerja sambilan dan komisen tersebut.
Katanya, mangsa kemudiannya terus berhubung dengan suspek di aplikasi Telegram dan menyerahkan maklumat peribadi nombor akaun bank dan nombor telefon.
“Suspek telah memberikan pautan jualan barang dan kemudiannya telah mengarahkan mangsa untuk menyelesaikan 34 tugasan dengan perlu menekan simbol ‘like’ seterusnya mangsa dikehendaki membuat pembayaran barangan ke dalam nombor akaun yang diberikan oleh suspek bagi barangan yang di like oleh mangsa sendiri.
“Bagi mendapatkan komisen yang dijanjikan mangsa telah menurut semua arahan dengan membuat pindahan wang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, mangsa telah membuat 17 kali pindahan wang ke dalam tujuh akaun bank tempatan pada 28 dan 29 Oktober lalu bagi tujuan melengkapkan tugasan untuk mendapatkan komisen yang dijanjikan.
“Mangsa dimaklumkan komisen akan dikreditkan ke dalam akaun dalam tempoh dua hingga tiga jam.
“Namun sehingga laporan dibuat,mangsa tidak menerima komisen yang dijanjikan dan menyedari telah tertipu. Oleh itu, mangsa hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan polis,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Orang ramai hendaklah membuat semakan yang terperinci dengan syarikat atau agensi yang berkaitan sebelum memohon mahupun menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, bole dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang
http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh Akun Giman