Jumlah rakyat Korea Selatan tidak makan kimchi meningkat – Data

Facebook
WhatsApp
KIMCHI, makanan tradisional Korea yang diperbuat daripada sayur-sayuran yang diperam dan terkenal dengan rasa masam serta pedas.

SEOUL: Rakyat Korea Selatan kini mengambil kimchi dalam jumlah yang jauh lebih rendah berbanding dahulu meskipun lauk sampingan ikonik negara itu semakin popular di peringkat global, lapor Agensi Berita Yonhap memetik data yang dikeluarkan pada Ahad.

Menurut kajian bersama penyelidik dari Universiti Chung-Ang, Universiti Kebangsaan Jeju dan Institut Kimchi Dunia, peratusan rakyat Korea Selatan yang melaporkan tidak mengambil kimchi dalam tempoh 24 jam meningkat daripada 11.7 peratus pada 2010 kepada 22.7 peratus pada 2024.

Kajian itu berdasarkan data Tinjauan Pemeriksaan Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Korea bagi tempoh 2010 hingga 2024.

Mengikut jantina, kadar tidak mengambil kimchi dalam tempoh 24 jam meningkat daripada 10.2 peratus kepada 20.6 peratus dalam kalangan lelaki, manakala bagi wanita meningkat daripada 13.1 peratus kepada 24.8 peratus.

Bagi semua kumpulan umur kecuali kanak-kanak di bawah 10 tahun, kadar pengambilan kimchi sebagai lauk sampingan menurun.

Penurunan paling ketara dicatatkan dalam kalangan mereka berusia antara 20 hingga 39 tahun, dengan kadar pengambilan kimchi sebagai lauk sampingan merosot daripada 82 peratus pada 2010 kepada 66 peratus pada 2024.

Sebaliknya, semakin ramai mengambil kimchi sebagai bahan dalam masakan lain seperti “kimchi jjigae” (stew kimchi).

Kajian itu turut mendapati faktor sosioekonomi mempengaruhi pengambilan kimchi, dengan kumpulan berpendapatan terendah mencatatkan kadar pengambilan lebih tinggi berbanding kumpulan berpendapatan tertinggi.

“Trend yang diperhatikan dalam pengambilan kimchi menunjukkan perubahan lebih luas dalam komposisi hidangan dan tabiat pemakanan secara keseluruhan. 

“Strategi kesihatan awam pada masa depan seharusnya beralih daripada sekadar menggalakkan pengambilan kimchi kepada usaha mendorong amalan pemakanan yang lebih seimbang,” menurut pasukan penyelidik bersama itu. – Bernama