BINTULU, 14 November: Kreativiti murid dalam menghasilkan karya seni menggunakan bahan terpakai diketengahkan menerusi Pertandingan Kraftangan sempena Karnival Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Daerah Bintulu 2026 yang berlangsung di Pusat beli belah Boulevard Bintulu, hari ini.
Pertandingan yang mengangkat konsep ‘Eco Wings’ itu memberi peluang kepada murid mengolah bahan terpakai menjadi hasil kraftangan yang menarik, sekali gus memperlihatkan kreativiti serta kebolehan mereka menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai daripada bahan yang lazimnya dianggap sebagai sisa buangan.

Pendekatan itu bukan sahaja menggalakkan penggunaan semula bahan, malah memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan memanfaatkan sumber yang ada serta meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
Pertandingan berkenaan disertai tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua dan SK Sg Selad, dengan setiap sekolah menghantar tiga orang murid sebagai wakil kumpulan.
Menariknya, penyertaan SK Sg Selad yang merupakan sekolah luar bandar turut memperlihatkan penglibatan murid dari kawasan berkenaan dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Penyelaras karnival, Josephine Chin Woan Shiang berkata, penganjuran karnival berkenaan merupakan antara aktiviti tahunan yang menggabungkan pelbagai elemen kesenian dan kebudayaan untuk memberi peluang kepada murid meneroka serta mengembangkan bakat dan kreativiti masing-masing.
Menurutnya, karnival tahun ini melibatkan 12 buah sekolah dari daerah Bintulu dengan seramai 259 peserta berdaftar dalam pelbagai aktiviti, tidak termasuk pengunjung yang turut menyertai aktiviti secara langsung.
Selain pertandingan kraftangan, karnival berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian lain termasuk pertandingan mewarna, tarian, nyanyian dan bengkel seni bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna kepada murid.
Penganjuran karnival sebegini diharap dapat terus menarik minat murid untuk mendalami bidang kesenian dan kebudayaan, di samping membina keyakinan diri, semangat kerjasama serta kreativiti mereka melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti.
Oleh Faizah Muzidi




