300 terumbu tiruan ditempatkan di Balingian-Tatau, perkasa usaha pemuliharaan khazanah marin melalui Projek COREEFS

Facebook
WhatsApp
TUAN Abang Arabi Abang Aimran ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Program Pesta STEM Pemuliharaan Marin Bersama Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS SFC-BPA di NAIM Street Mall, hari ini.

BINTULU,  14 November: Sebanyak 300 unit struktur terumbu tiruan atau reef ball telah ditempatkan di perairan Balingian-Tatau pada 2024 bagi menyediakan habitat tambahan kepada hidupan marin.

Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Tuan Abang Arabi Abang berkata, penempatan struktur berkenaan merupakan antara inisiatif di bawah Projek COREEFS yang dilaksanakan menerusi kerjasama SFC dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) sejak 2023.

Menurutnya, projek berkenaan memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan serta pemulihan ekosistem marin di perairan Bintulu.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penempatan struktur terumbu tiruan atau reef ball, pemantauan biodiversiti marin dan program pendidikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan ekosistem laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program STEM Fair Pemuliharaan Marin bersama Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS SFC-BPA, yang berlangsung di NAIM Street Mall, Paragon, hari ini.

Abang Arabi berkata, usaha pemuliharaan ekosistem marin tidak hanya tertumpu kepada tindakan di laut, malah pendidikan dan kesedaran masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian sumber marin.

Katanya, masyarakat perlu memahami sebab ekosistem marin perlu dilindungi serta bagaimana setiap individu boleh memainkan peranan dalam usaha berkenaan.

Sehubungan itu, program ini diwujudkan sebagai salah satu platform untuk menghubungkan usaha pemuliharaan dengan pembelajaran, kreativiti dan inovasi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti yang disesuaikan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, termasuk Pertandingan Cabaran Inovasi STEM, Kuiz Konservasi Marin, pertandingan mewarna serta pameran interaktif.

Pameran berkaitan terumbu karang, penyu, dugong, mamalia marin dan rumput laut turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian hidupan marin serta kepentingan setiap komponen dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Beliau berharap pendekatan pembelajaran menerusi pengalaman, penerokaan dan aktiviti praktikal sebegini dapat membantu pelajar memahami kepentingan pemuliharaan marin dengan lebih mendalam.

Katanya, generasi muda bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan mengenai laut dan hidupan marin, malah digalakkan berani meneroka idea baharu serta memikirkan cara untuk membantu menyelesaikan masalah alam sekitar.

Oleh Faizah Muzidi