ADI SAFARMAN
BETONG: Usahawan serta peniaga kawasan luar bandar disarankan untuk memasarkan produk melalui atas talian agar produk mereka mampu bersaing di masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu berkata, penggunaan internet dan perniagaan atas talian yang efektif akan mampu melebarkan pemasaran dan perniagaan mereka.
Kerajaan katanya, kini telah membantu memulihkan ekonomi rakyat dengan menyediakan pakej Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
“Ini kerana untuk mencipta keuntungan dan menjadi usahawan serta peniaga berjaya, aspek komunikasi serta pemasaran termasuk di atas talian amat penting bagi memperkenal serta mengembangkan produk mereka.
“Menerusi usaha ini, produk usahawan serta peniaga di negeri ini dapat menembusi pasaran luar dan seterusnya meningkatkan lagi hasil jualan dan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan cek bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada pertubuhan NGO, Kelab Sukan, Biro Wanita Rumah panjang dan juga kepada JKKK Kampung Melayu Betong yang berlangsung di Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dekat sini semalam.
Rentap berkata, tiba masa untuk rakyat meneroka sesuatu yang baharu untuk membangun ekonomi masing-masing lebih-lebih lagi pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menuntut dan menggalakkan agar rakyat menjualkan produk mereka secara atas talian.
“Gunakan kemudahan yang telah dibangunkan dan bantuan kerajaan untuk memajukan diri dan keluarga,” katanya.
Tambahnya, rakyat terpaksa akur untuk meneruskan kehidupan dalam norma baharu dan mematuhi apa jua arahan kerajaan agar kita tidak terjejas dalam musibah yang melanda.