GEDONG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS ) Sarawak akan dipecahkan kepada dua bahagian bulan depan, dengan satu unit baharu khusus untuk pembangunan kawasan pertanian di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata unit baharu itu akan dibekalkan dengan peruntukan RM1 bilion melalui dana kerajaan negeri.
Katanya, langkah ini bertujuan mempercepat transformasi sektor pertanian Sarawak, khususnya dalam menjadikan negeri ini sebagai jelapang padi nasional sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
“Saya dah umumkan RM1 bilion untuk pembangunan pertanian. Untuk permulaan, RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan kawasan 54.4 hektar di Lubok Punggor. Apabila kawasan 500 hektar lengkap, kosnya boleh mencecah RM100 juta.
“Jadi dana ini akan diberikan kepada M-FICORD, kerana kementerian ini akan menubuhkan JPS khas untuk pertanian.
“Satu lagi akan diletakkan dibawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, untuk menguruskan sistem perparitan di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Transformasi Padi Lubok Punggor dan Skim Rehabilitasi MID Sadong 1, Gedong, di sini, hari ini.
Projek perintis di Lubok Punggor ini merangkumi pembangunan sistem parit dan tali air, yang dijangka siap pada September 2025.
Model ini akan diperluaskan ke kawasan lain seperti Tanjung Purun di Lundu, serta Lingga, Bijat, dan Stumbin di Sri Aman, melibatkan keseluruhan kawasan seluas 520 hektar.
Menurut Abang Johari, usaha ini adalah sebahagian komitmen Sarawak untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import beras, sekali gus memastikan kestabilan bekalan makanan asas negeri.
“Kita mahu pengeluaran padi Sarawak mencapai 240,000 tan setahun menjelang 2030. Dengan sistem yang cekap, hasil padi boleh meningkat daripada lima tan kepada lapan tan sehektar. Ini bukan sahaja cukup untuk kegunaan domestik, malah berpotensi untuk dieksport,” tambahnya.
Langkah pemecahan JPS itu juga akan memastikan setiap unit dapat memberi fokus kepada tugas masing-masing.
Unit baharu ini akan mengendalikan pembangunan sistem perairan pertanian, manakala unit sedia ada akan menyelia infrastruktur bandar seperti parit dan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL