
SIBU: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memperluaskan akses pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kepada ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sarawak.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) bersempena Jelajah Inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) Fasa 3 yang berlangsung di Kem Rascom di sini, hari ini.
Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr Mohd Nizar Sudin berkata, YLTAT komited memperkasakan pendidikan, pembangunan kemahiran dan kebajikan warga ATM menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu, Norasmah Jaafar berkata Program K2T yang berteraskan konsep ‘TVET4ALL’ membuka peluang lebih luas kepada keluarga anggota tentera untuk mengikuti latihan kemahiran dan program pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau berkata, kursus pendek PSH yang ditawarkan bersifat fleksibel serta disesuaikan dengan keperluan industri semasa, sekali gus berpotensi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan tambahan kepada peserta.
Empat Kolej Komuniti iaitu Kolej Komuniti Sarikei, Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu, Kolej Komuniti Miri dan Kolej Komuniti Betong turut mengambil bahagian dalam program itu menerusi pameran serta demonstrasi interaktif kursus pendek PSH.
Antara yang mendapat perhatian ialah demonstrasi kursus kulinari yang menerima sambutan menggalakkan daripada ahli BAKAT dan warga Kem Rascom.
Kolaborasi antara YLTAT dan JPPKK itu dijangka terus memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan warga ATM dan keluarga mereka melalui penyediaan peluang pendidikan serta latihan kemahiran yang lebih inklusif.
Oleh Tarani Lanting