
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berharap lebih banyak kuasa pengurusan dapat diserahkan kepada cawangan LAKU Bintulu bagi membolehkan isu bekalan air tempatan ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.
Beliau berkata, ketika ini, banyak prosedur penting masih memerlukan kelulusan ibu pejabat LAKU di Miri yang disifatkannya sebagai rumit dan tidak efisien.
“Kebergantungan ini menjejaskan kelancaran pembangunan dan melambatkan tindakan terhadap keperluan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Menurut Johnny Pang, penggabungan LAKU dengan Jabatan Bekalan Air Kuching dan Sibu yang dijangka selesai Jun ini seharusnya disusuli dengan penurunan kuasa kepada cawangan di lapangan.
“Apabila lebih banyak keputusan boleh dibuat di Bintulu, tindakan terhadap aduan rakyat akan jadi lebih pantas dan berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukannya menerima banyak aduan daripada penduduk berkaitan gangguan air secara mengejut, air keruh dan tekanan rendah.
“Saya berharap pihak LAKU akan terus bekerjasama dengan kami untuk memperbaiki mutu perkhidmatan, menyelesaikan aduan dengan segera dan memastikan rakyat Bintulu menikmati bekalan air yang lebih stabil serta berkualiti,” katanya.
Oleh Carolyne Utih