KUCHING: Rumah Seri Kenangan Kuching mencatat sejarah apabila pasangan warga emas pertama di institusi tersebut melangsungkan perkahwinan.
Tarikh 2 Januari menjadi saksi perkahwinan Wong Yuan Chang, 69, dan pasangannya Molly Teo Siok Khim, 79, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuching yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah serta wakil daripada pengantin lelaki dan wanita.
Perkahwinan ini menjadi simbolik sokongan terhadap hak warga emas untuk menjalani kehidupan bahagia dan bermakna, tanpa mengira usia.
Menurut Fatimah pasangan ini yang masing-masing pernah kehilangan pasangan hidup mereka sebelumnya, memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan setelah menjalin hubungan yang akrab dan saling memahami.
Proses perkahwinan mereka turut dipermudahkan oleh pihak JPN dan komuniti gereja.
“Di Rumah Seri Kenangan, kami percaya usia bukan halangan untuk mencari kebahagiaan. Warga emas juga memerlukan teman untuk menghindari kesunyian dan kemurungan.
“Perkahwinan ini membuktikan pentingnya hubungan yang memberikan sokongan emosional dan spiritual,” katanya ketika ditemui media di JPN Sarawak, hari ini.
Pasangan ini telah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh institusi, termasuk ketiadaan penyakit mental atau penyakit berjangkit dan tidak mempunyai waris yang dapat menjaga mereka.
Perkahwinan mereka diraikan dengan sederhana namun penuh kegembiraan, melibatkan warga Rumah Seri Kenangan serta ahli komuniti gereja yang memberikan dukungan moral dan spiritual.
Selain itu, Fatimah turut menekankan pentingnya elemen persamaan, seperti latar belakang agama dan hobi, dalam memastikan hubungan yang berkekalan.
“Pasangan ini sama-sama aktif dalam mempelajari ilmu agama, yang menjadi asas penting dalam hubungan mereka. Mereka juga saling melengkapi dalam kegiatan sehari-hari, seperti menyanyi dan berkongsi cerita,” tambahnya.
Ini adalah perkahwinan pertama di Rumah Seri Kenangan Kuching untuk 2025, dan pihak institusi berharap langkah ini akan memberi inspirasi kepada warga emas lain untuk terus mencari kebahagiaan.