
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja negeri menerusi pelancaran platform digital JobSarawak yang menyediakan data pekerjaan secara masa nyata bagi memenuhi keperluan ekonomi semasa dan masa depan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata platform tersebut adalah berbeza berbanding pendekatan terdahulu menerusi sistem e-recruitment yang dijalankan bersama Jabatan Tenaga Buruh kerana data diperoleh sebelum ini kurang menyeluruh dan tidak begitu mantap.
Menurut beliau, JobSarawak kini dilengkapi sistem papan pemuka (dashboard) yang mampu memberikan gambaran jelas mengenai peluang pekerjaan mengikut sektor serta keperluan kemahiran tertentu di Sarawak.
“Sebelum ini kita bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Buruh tapi tidak begitu mantap dari sudut angka dan data.
“Jadi kita gunakan kaedah baharu di mana kita ada platform digital yang memberikan data-data yang sangat diperlukan dalam kita mewujudkan pekerjaan yang sesuai dengan misi transisi ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurut beliau, peningkatan prestasi ekonomi Sarawak ketika ini turut membuka banyak peluang pekerjaan baharu yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Katanya, Sarawak kini memerlukan pekerja dengan latihan kemahiran, program peningkatan kemahiran (upskilling) serta kepakaran profesional termasuk di peringkat doktor falsafah (PhD) bagi menyokong agenda pembangunan negeri menjelang 2030 dan seterusnya.
Beliau berkata antara sektor baharu yang sedang diteroka termasuk industri aeroangkasa serta industri cip semikonduktor yang dijangka memerlukan ramai tenaga mahir pada masa akan datang.
“Hari ini kita melihat angka-angkanya, banyak kekosongan kerja di Sarawak di mana ekonomi kita telah meningkat daripada segi prestasinya.
“Dan kita memerlukan beberapa kepakaran termasuk dalam bidang aeroangkasa yang sedang kita kaji sekarang dan juga bidang cip,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha kementerian berkaitan di bawah pimpinan Datuk Gerawat Gala serta pihak pengurusan platform tersebut yang berjaya menyediakan sistem pemantauan pekerjaan secara lebih tersusun dan efisien.
Katanya, platform berkenaan bukan sahaja memudahkan kerajaan dan majikan memantau keperluan tenaga kerja, malah membantu rakyat mengakses maklumat kekosongan jawatan serta memohon pekerjaan secara terus mengikut bidang yang dicari.
Oleh Shahrul Qaizat