JKR Sarawak turun padang, perkukuh komunikasi dan kebajikan warga kerja

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Cawangan Sumber Manusia Turun Padang di Depo Mekanikal di JKR Daerah Saratok. Foto JKR Sarawak

SARATOK, 27 Oktober: Cawangan Sumber Manusia, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan dan warga kerja menerusi Program Cawangan Sumber Manusia Turun Padang di Depo Mekanikal, JKR Daerah Saratok, hari ini.

Program itu bertujuan menyampaikan maklumat terkini berkaitan pengurusan sumber manusia, selain menyediakan platform komunikasi dua hala bagi mengenal pasti keperluan, cabaran dan isu yang dihadapi warga kerja di peringkat bahagian.

Timbalan Pengarah Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Josenthiana Manggie, menekankan kepentingan pendekatan turun padang dalam merapatkan hubungan antara Cawangan Sumber Manusia dengan warga kerja.

Menurutnya, pendekatan itu juga membolehkan maklum balas diperoleh secara langsung bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan sumber manusia.

Sementara itu, Jurutera Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan, berkata seramai 153 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai gred bertanggungjawab mengendalikan kira-kira 1,500 projek pembangunan dan infrastruktur.

Beliau menegaskan bahawa keberkesanan organisasi bukan hanya bergantung pada jumlah tenaga kerja, malah turut ditentukan oleh integriti, kompetensi dan kecekapan setiap warga kerja dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Program itu turut memberi penekanan kepada pemahaman dan pematuhan terhadap peraturan, pekeliling, prosedur serta ketetapan perkhidmatan yang berkuat kuasa.

Antara perkara yang disentuh termasuk urusan kemudahan perkhidmatan, cuti, penilaian prestasi dan pembangunan kerjaya bagi memastikan warga kerja memahami hak serta tanggungjawab masing-masing.

Selain sesi penyampaian maklumat, program berkenaan turut membuka ruang kepada warga kerja untuk mengemukakan pertanyaan, pandangan dan cadangan berkaitan pengurusan sumber manusia.

Maklum balas yang diterima akan dijadikan input penting dalam mengenal pasti langkah penambahbaikan yang bersesuaian dengan keperluan semasa organisasi.

Penganjuran program itu memperlihatkan komitmen Cawangan Sumber Manusia JKR Sarawak untuk terus menjadi rakan strategik kepada warga kerja melalui komunikasi terbuka dan kerjasama berterusan.

Usaha itu diharap dapat menyokong pembentukan persekitaran kerja yang profesional, berintegriti dan produktif, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti kepada masyarakat.

Oleh Adi Safarman