
SEBUYAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah melaksanakan operasi khas membuang sarang lebah di kawasan Jambatan Batang Lupar 1 bagi menjamin keselamatan pengguna jambatan berkenaan, hari ini.
Menurut kenyataan media JKR Sarawak, operasi bersepadu itu dijalankan selepas pihak berkuasa mengesan kewujudan sarang lebah yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam, khususnya pengguna jalan raya serta petugas yang menjalankan tugas di sekitar kawasan berkenaan.
JKR memaklumkan tindakan segera diambil bagi menghapuskan risiko tersebut sebelum ia mengakibatkan sebarang insiden yang tidak diingini, sekali gus memastikan laluan di jambatan berkenaan kekal selamat untuk digunakan.

Operasi itu turut memperlihatkan kerjasama erat antara JKR, JBPM dan APM dalam melaksanakan langkah pencegahan secara pantas serta berkesan demi melindungi keselamatan masyarakat.
Menurut kenyataan itu lagi, penyelarasan yang baik antara ketiga-tiga agensi membolehkan operasi dijalankan dengan lancar selain memastikan ancaman daripada sarang lebah dapat ditangani mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.
JKR Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada JBPM dan APM atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang operasi berlangsung, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama antara agensi dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Katanya, kerjasama strategik seperti itu penting bagi memastikan setiap isu keselamatan di kawasan infrastruktur awam dapat ditangani dengan cepat dan berkesan, selain meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan kemudahan awam.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kewujudan sarang lebah atau sebarang keadaan yang boleh mengundang bahaya di kawasan infrastruktur awam agar tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Oleh Adi Safarman


