
KRIAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) disaran agar tidak terlalu bergantung kepada geran kerajaan semata-mata untuk menjayakan sesuatu program dan aktiviti di kawasan penempatan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata kejayaan penganjuran sesuatu aktiviti dan program kemasyarakatan tidak terletak kepada aspek kewangan, sebaliknya bergantung kepada kerjasama dan komitmen ahli jawatankuasa penganjur.
“Inisiatif serta kejayaan JKKK Krangan dalam penganjuran aktiviti yang dianjurkan pada hari ini boleh dijadikan sebagai satu contoh kepada JKKK lain supaya lebih proaktif dan mempunyai perancangan untuk maju ke hadapan tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan.
“JKKK dan Biro Wanita Krangan telah banyak melaksanakan program dan aktiviti sosial serta ekonomi yang melibatkan penduduk rumah panjang seperti penanaman sayur secara hidroponik, mencantikkan kawasan rumah dan lain-lain,” katanya semasa berucap merasmikan Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah Piala JKKK Rumah Entinggie Krangan, Krian di Padang Bola Sepak Krangan, semalam.
Friday berkata JKKK perlu berdikari dan berusaha mencari alternatif sendiri bagi menampung kos menganjurkan sesuatu program dan aktiviti di rumah panjang masing-masing.


Menyentuh mengenai pertandingan tersebut, beliau menjelaskan penglibatan golongan belia dalam kegiatan sukan sangat penting dan bermanfaat, yang mana ia boleh membantu membentuk jati diri, disiplin dan kekuatan mental supaya lebih berdaya saing dalam era yang semakin mencabar.
“Selain itu, aktiviti bersukan begini juga boleh menghimpunkan golongan belia supaya bersama-sama membantu kerajaan ke arah pembentukan ahli masyarakat yang berguna demi kemajuan negeri yang lebih mampan,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Brian Fung dan Kaunselor Raymond Majang serta penduduk sekitar.
Oleh Adi Safarman