MIRI: Tindakan pantas jiran menggunakan air sungai berjaya mengelakkan kebakaran sebuah dapur di Tudan Desaras, di sini, daripada merebak ke struktur rumah berhampiran petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.15 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran telah dipadamkan oleh jiran-jiran menggunakan sumber air sungai di belakang rumah.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran semula,” katanya.


KEADAAN dapur yang mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus selepas kebakaran di Tudan Desaras, petang tadi.
Menurutnya, kebakaran hanya melibatkan kira-kira 10 peratus struktur dapur dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
“Operasi dikawal pada 3.00 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 3.03 petang,” katanya.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling





