KUCHING: “Jika boleh semua parti di Sarawak sertailah GPS (Gabungan Parti Sarawak). Kita tidak mahu parti luar Sarawak bertapak di sini.”
Itu reaksi Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof sebagai mengulas tindakan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyallau Badak, 71, yang keluar Parti Bersatu Sarawak (PSB) hari ini untuk memberi sokongan kapada GPS.
“Memang sepatutnya begitulah. Sudah terbukti GPS mempunyai rekod khidmat terbaik dalam memperjuang dan mempertahankan hak Sarawak untuk kepentingan rakyat Sarawak.
“Jika beliau (William Nyalau) nak bagi sokongan, kita hargai. Terima kasih. Ini bererti beliau sudah bersama kita. Paling penting jadikan GPS landasan untuk kita berjuang demi rakyat Sarawak,”katanya.
Fadillah yang mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selepas menyantuni komuniti setempat di gerai-gerai penjaja, Jalan Astana di Petra Jaya petang ini.
Fadillah juga merujuk kenyataan calon DAP Chong Chieng Jen bagi kerusi Parlimen Stampin iaitu perlu peranan ‘semak dan imbang’ kepada Pakatan Harapan (PH).
“Tapi yakinlah itu hanya retorik. Bila mereka memerintah dulu, 22 bulan sudah terbukti kepentingan Sarawak sudah terhakis.
“Mereka janji pun tidak dapat ditunai. Jadi inilah masa kita jangan bagi satu pun dekat mereka, bagi kat GPS,” katanya.