SIMUNJAN: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan berusaha menanam sebanyak tujuh juta pokok setahun di seluruh negeri ini.
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, kerjasama warga Sarawak daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menjayakan Kempen ‘Jom Tanam Pokok’ dan seterusnya bagi mencapai sasaran tersebut amatlah penting.
“Kempen ini selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan 35 juta pokok akan ditanam dalam jangka masa lima tahun mulai tahun depan.
“Kita menggalakkan penglibatan semua lapisan sama ada di peringkat sekolah, universiti mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk menanam pokok dan Jabatan Hutan Sarawak pula akan memantau jumlah yang telah ditanam,” katanya pada Program Restorasi Hutan anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak dan Kelab Sosial dan Rekreasi Jabatan Hutan Sarawak (FORESSA) di Hutan Simpan Sabal, di sini semalam.
Dalam pada itu, untuk menjamin pemantauan yang berkesan, Hamden mencadangkan supaya mencipta satu portal bagi membolehkan setiap pihak mengemaskin data penanaman masing-masing dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, beliau melaporkan Jabatan Hutan Sarawak telah menanam lebih 112,000 pokok yang merangkumi 37 spesies semenjak Jun tahun lepas.
“Program Restorasi Landskap Hutan (FLR) yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ini telah dilaksanakan di seluruh Sarawak bagi mengimbangi penerokaan hutan disebabkan pelaksanaan projek pembangunan,” ujarnya.
Tambah Hamden lagi, FLR dipromosikan secara meluas pada peringkat global sebagai satu langkah penyelesaian kepada Pemulihan Kawasan Tesorot atau ‘forest degradation’ di seluruh dunia.
Program FLR di Hutan Simpan Sabal itu melibatkan lebih 300 warga Jabatan Hutan Sarawak dengan capaian penanaman sebanyak 10,000 pokok. Warga FORESSA turut sempat menyaksikan pelancaran awal logo FLR.
Turut hadir Timbalan Pengarah Hutan I (Konservasi Hutan Dan Pembangunan) merangkap Presiden FORESSA, Jack Liam dan Timbalan Pengarah Hutan II (Pengurusan Hutan), Abg Ahmad Abg Morni.
Oleh Cheryl Law