Jerebu: Semua sekolah di Sarawak beroperasi seperti biasa esok, aktiviti luar dihentikan jika IPU melebihi 100

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto Janaan AI

KUCHING, 14 Oktober: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di Sarawak akan beroperasi seperti biasa esok.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sekolah dan institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 hendaklah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid dan pelajar.

“Murid dan pelajar yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah menjaga kesihatan susulan keadaan jerebu semasa.

“Ibu bapa dan penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak di bawah jagaan masing-masing ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan anak-anak susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan itu.

Semalam, JPN Sarawak memaklumkan bahawa semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup sementara, manakala sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan. – Bernama