Jerebu semakin tebal di Samalaju, IPU cecah 181

Facebook
WhatsApp
JEREBU... Keadaan jerebu di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu kini di tahap tidak sihat dan membimbangkan pagi ini.

SAMALAJU (Bintulu): Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di Bintulu kini di tahap tidak sihat, keadaan jerebu yang membimbangkan pagi ini.

Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi pemantauan IPU Sarawak 8.00 pagi, bacaan di SIP menunjukkan indeks 181, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat.

Bacaan berkenaan bermakna keadaan pencemaran udara boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.

Tinjauan Utusan Sarawak sekitar 7.30 pagi di SIP mendapati jerebu semakin tebal sehingga menyebabkan pemandangan di beberapa kawasan kelihatan kabur.

JEREBU tebal menyebabkan pemandangan di beberapa kawasan sekitar Taman Perindustrian Samalaju kelihatan kabur.

Orang ramai dan para pekerja di kilang-kilang sekitar SIP terutama golongan berisiko dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengurangkan aktiviti fizikal atau aktiviti luar sekiranya keadaan udara bertambah buruk.

Data berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar paling dominan.

Oleh Adum Liu