
TOKYO, Jepun: Sebuah syarikat Jepun yang menghasilkan robot serigala berwajah garang kini dibanjiri tempahan susulan peningkatan rekod serangan maut beruang terhadap manusia tahun lalu.
Robot serigala dikenali sebagai ‘Monster Wolf’ ialah orang-orangan animatronik bermata merah berkelip yang mengeluarkan bunyi lolongan dan geraman menggerunkan bagi menghalau haiwan liar.
Ohta Seiki, syarikat berpangkalan di Hokkaido yang menghasilkan peranti itu, menerima kira-kira 50 tempahan setakat tahun ini, melebihi jumlah kebiasaan bagi tempoh setahun penuh.
“Kami menghasilkan peranti ini secara manual. Ketika ini kami tidak mampu menyiapkannya dengan cukup pantas. Kami meminta pelanggan menunggu antara dua hingga tiga bulan,” kata presiden syarikat itu, Yuji Ohta kepada AFP.
“Kesedaran mengenai keselamatan daripada ancaman beruang serta langkah menangani kerosakan hidupan liar terhadap hasil pertanian semakin meningkat.
“Pada masa sama, semakin ramai mengiktiraf keberkesanan produk kami dalam menangani ancaman beruang,” katanya.

Kebanyakan tempahan diterima daripada petani, pengendali padang golf dan individu yang bekerja di kawasan luar bandar seperti sektor pembinaan.
Beruang membunuh 13 orang di seluruh Jepun pada 2025 hingga 2026, iaitu lebih dua kali ganda berbanding rekod tertinggi sebelum ini.
Lebih 50,000 penampakan beruang direkodkan di seluruh negara, iaitu lebih dua kali ganda rekod terdahulu yang dicatatkan dua tahun lalu, menurut data rasmi.
Haiwan itu dilihat memasuki rumah, berkeliaran berhampiran sekolah serta mengamuk di pasar raya dan pusat peranginan mata air panas hampir setiap hari.
Jumlah beruang yang ditangkap dan kemudian dilupuskan meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada 14,601 ekor, sekali gus mencatat rekod tertinggi sepanjang masa.
Beberapa wilayah di utara Jepun turut melaporkan pada April jumlah penampakan beruang meningkat lebih empat kali ganda berbanding tahun lalu ketika haiwan itu keluar daripada hibernasi, menurut media tempatan.
‘Monster Wolf’ menampilkan bulu tiruan yang menutupi rangka paip yang dipasang bersama pembesar suara serta dilengkapi wajah garang dengan mulut ternganga.
Dengan harga bermula sekitar AS$4,000 dan ke atas, sistem itu dilengkapi bateri, panel solar, sensor, pembesar suara dan pelbagai peralatan lain.
Ia mampu menyiarkan lebih 50 jenis bunyi rakaman, termasuk suara manusia dan bunyi elektronik, yang boleh didengari sehingga sejauh satu kilometer.
Peranti itu turut menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan, memancarkan lampu LED merah pada mata, manakala ekornya dilengkapi lampu LED biru.
Ohta memperkenalkan produk tersebut pada 2016 bagi mencegah kerosakan hasil pertanian akibat rusa, babi hutan dan beruang, namun pada peringkat awal ia dianggap sekadar gimik.
Syarikat itu kini menaik taraf peranti berkenaan dengan meletakkannya di atas roda supaya ia boleh mengejar haiwan atau meronda laluan tertentu.
Ohta turut merancang membangunkan versi mudah alih untuk pendaki, pemancing dan murid sekolah, selain meneroka penggunaan kamera kecerdasan buatan bagi model masa depan.
“Kami mahu memanfaatkan kepakaran pembuatan kami untuk memainkan peranan dalam menangani ancaman beruang,” katanya. – AFP