
KUCHING: Sarawak merekodkan penurunan 21 peratus dalam kes jenayah indeks bagi tempoh lima bulan pertama 2026, dengan 1,611 kes dilaporkan dari Januari hingga Mei berbanding 2,042 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Berucap pada perhimpunan bulanan hari ini,
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Zainal Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, penurunan sebanyak 431 kes itu mencerminkan keberkesanan langkah pencegahan jenayah dan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negeri, khususnya dalam menangani jenayah harta benda dan jenayah kekerasan.
Beliau berkata, jenayah harta benda menurun 24 peratus daripada 1,765 kes kepada 1,349 kes, manakala jenayah kekerasan berkurangan lima peratus daripada 277 kes kepada 262 kes.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan 43 peratus kes rogol yang meningkat daripada 63 kes kepada 90 kes, selain peningkatan kecil dalam kes samun bersenjata dan samun berkawan bersenjata.

Zainal berkata, kadar penyelesaian kes jenayah indeks turut menunjukkan peningkatan ketara daripada 37 peratus pada 2025 kepada 71 peratus pada tahun ini, sekali gus mencerminkan kecekapan pasukan penyiasatan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.
Mengenai penguatkuasaan narkotik, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak merekodkan 7,097 tangkapan antara 1 Januari hingga 7 Jun tahun ini, meningkat 34.1 peratus berbanding 5,291 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.
Seramai 342 pengedar dadah berjaya ditahan, manakala dadah dan racun bernilai RM53.7 juta dirampas, meningkat 563.9 peratus berbanding RM8 juta yang direkodkan sebelum ini.
Beberapa sindiket pengedaran dadah yang aktif di negeri ini turut berjaya dilumpuhkan menerusi operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan.
Sementara itu, kes jenayah komersil meningkat 41.79 peratus kepada 2,134 kes berbanding 1,505 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah kerugian pula meningkat kepada RM71.1 juta berbanding RM56 juta sebelumnya.
Zainal berkata penipuan dalam talian kekal menjadi penyumbang utama kepada peningkatan tersebut, khususnya penipuan e-dagang, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan palsu dan penipuan telefon.
Penipuan pelaburan sahaja mencatatkan kerugian RM32.2 juta walaupun jumlah kesnya lebih rendah berbanding kategori penipuan lain.
Beliau berkata, polis menahan 958 suspek jenayah komersil tahun ini dan kesemua mereka telah didakwa di mahkamah.
Antara kejayaan utama ialah pembongkaran sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian yang dikendalikan lima lelaki tempatan yang menyasarkan mangsa di Singapura dan Australia melalui profil media sosial palsu serta tawaran pekerjaan dropshipper yang tidak wujud.
Zainal menegaskan bahawa integriti dan profesionalisme mesti terus menjadi asas dalam tugas kepolisan, sambil mengulangi pendirian Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran disiplin.
Beliau turut mengingatkan warga polis supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan memastikan hanya saluran rasmi digunakan untuk mengeluarkan kenyataan organisasi.
Oleh Connie Chieng