
SIBU: Junior Chamber International (JCI) Mandarin Sibu terus memperkukuhkan jaringan dan pendedahan industri dalam kalangan ahlinya menerusi penganjuran program Lawatan Korporat ke Printaland, baru-baru ini.
Printaland yang merupakan jenama di bawah Faith 3D Tech Sdn. Bhd memberi peluang kepada para peserta untuk memahami dengan lebih mendalam latar belakang serta operasi syarikat tempatan tersebut.
Sepanjang lawatan, para ahli berpeluang melawat kilang pengeluaran dan menyaksikan penggunaan mesin berskala besar berteknologi tinggi termasuk peralatan percetakan berketepatan tinggi serta sistem pengeluaran automatik.
Lawatan itu turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai proses kerja bermula daripada peringkat reka bentuk, pengeluaran hingga ke produk akhir.
Selain itu, syarikat turut mempamerkan pelbagai produk siap yang menunjukkan kepelbagaian aplikasi dalam bidang percetakan dan teknologi 3D.
Sesi lawatan telah dikendalikan oleh wakil syarikat, yang memberikan penerangan terperinci mengenai latar belakang syarikat, perniagaan utama serta perancangan masa depan.
Perkongsian tersebut sekali gus menambah pemahaman peserta terhadap industri serta menggalakkan interaksi lebih baik antara kedua-dua pihak.
JCI Mandarin Sibu memaklumkan bahawa program lawatan korporat ini bertujuan menyediakan platform pembelajaran secara praktikal kepada ahli, selain memperluaskan perspektif perniagaan serta meningkatkan pemikiran kepimpinan dan keusahawanan.
Menurutnya, organisasi itu akan terus menganjurkan program seumpama ini bagi memperkukuh hubungan antara belia dan sektor perniagaan tempatan demi pembangunan komuniti dan ekonomi.
Oleh Tarani Lanting