


SIBU: Jawatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan satu tanggungjawab besar dan tinggi, kata penyandangnya Datuk Dr Annuar Rapaee.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu percaya apabila mempunyai jawatan dalam parti, beliau mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembentukan dasar besar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.
Menurutnya, matlamat beliau untuk bertanding mempertahankan jawatan tersebut ialah kerana telah diamanahkan untuk menjadi Timbalan Menteri dalam bidang pendidikan untuk Sarawak.
“Banyak yang kita dah lakukan di dalam merangka dasar bidang pendidikan di Sarawak, misalnya kita adalah kerajaan negeri pertama yang membantu membayar sebahagian hutang PTPTN anak negerinya.
“Selain itu, pelbagai dasar lain turut dilaksanakan seperti pemberian komputer riba percuma, baucar buku, Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS), Sarawak Education Enhancement Programmes (SEEP) dan pelbagai program pembangunan bakat dan kemahiran.
“Sarawak juga bakal melaksanakan langkah besar pemberian pendidikan percuma untuk pelajar yang menuntut di universiti milik kerajaan Sarawak tahun depan.
“Saya anggap dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan Sarawak sebagai dasar berpandangan jauh yang mampu mengubah nasib anak-anak Sarawak terutama untuk mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan luar bandar.
“Kami melihat dengan perlaksanaan dasar-dasar ini, faktor tidak mampu dari segi kewangan untuk melanjutkan pelajaran sudah tidak lagi wujud untuk anak Sarawak,” katanya yang merupakan calon nombor empat untuk jawatan Naib Presiden atau Naib Yang Dipertua PBB di Perhimpunan Agung PBB ke-16 kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memberitahu, sekiranya terus diberikan mandat sebagai Naib Presiden, beliau akan berusaha menyumbang idea dan pandangan untuk memaju dan mengemaskini dasar-dasar yang ada untuk menjadikan impian Sarawak Wilayah Maju Berpendapatan Tinggi 2030 menjadi satu realiti.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg yang memberitahu PBB kini memasuki fasa transisi kepimpinan, dengan konvensyen ke-16 parti itu dijadikan platform penting untuk mencorakkan masa depan dan membuka ruang kepada pemimpin pelapis meneruskan perjuangan.
Katanya, ucapan Premier di keempat-empat zon Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB sebelum ini juga memberikan bayangan yang sama.
“Beliau menekankan bahawa perlunya PBB menyiapkan diri untuk pemimpin-pemimpin baru mengambil alih kepimpinan parti ini. Untuk itu, pemimpin-pemimpin ini perlu dilatih dari sekarang.
“Sebab itulah konvensyen yang akan kita lalui pada minggu ini, merupakan suatu konvensyen memilih pelapis yang akan meneruskan perjuangan parti.
“Ini suatu misi penting dan ahli-ahli PBB harus berfikir dengan secara mendalam semasa menentukan barisan pimpinan pada minggu ini,” kata beliau.
Dr Annuar berpandangan apa yang diutarakan oleh Presiden parti itu adalah bertujuan untuk memastikan PBB kekal relevan dalam memperjuang nasib Bumiputera di Sarawak.
“Saya berpendapat apa yang cuba disampaikan oleh Premier itu jelas, bahawa konvensyen kali ini adalah suatu transisi. Ia bermaksud konvensyen ini ruang untuk memilih pemimpin pelapis yang akan diangkat dan dilatih di peringkat dimana mereka sepatutnya berada,” kata beliau lagi.
Dr Annuar bertanding untuk kali pertama bagi jawatan Naib Presiden pada 2018 dan beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin yang terpilih ketika itu.
Pada penggal seterusnya, jawatan Naib Presiden tidak dipertandingkan.
“Ini adalah penggal ketiga, saya percaya pengalaman saya mencukupi untuk terus menyumbang kepada parti dan Sarawak.
“Saya berharap para perwakilan dapat melihat kepada hasil-hasil kerja yang telah saya buktikan sebelum ini untuk menilai diri saya seterusnya memberikan mandat untuk saya terus menyumbang,” katanya
Oleh AKUN GIMAN