Sukma 2026: Sarawak buka kempen dengan kekalahan kepada Sabah

Facebook
WhatsApp
SKUAD Bujang Senang beraksi menentang Sabah dalam saingan Kumpulan A Sukma XXI Selangor 2026 di Stadium UKM, Bangi, hari ini. Sarawak tewas 0-2.

BANGI: Skuad bola sepak lelaki Sarawak membuka kempen Sukan Malaysia (Sukma) XXI Selangor 2026 dengan langkah kiri selepas tewas 0-2 kepada Sabah dalam aksi Kumpulan A di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Sabah, yang turun pada aksi kedua, membuka tirai jaringan menerusi Emerson Ambatik Ayub pada minit ke-45 untuk membawa kelebihan satu gol ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua, skuad Bujang Senang cuba meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan, namun Sabah terus tampil agresif selain berjaya mengawal rentak permainan.

Sarawak mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, namun ketumpulan penyudah menyaksikan mereka gagal menterjemahkan peluang kepada jaringan.

Sabah kemudian mengesahkan kemenangan apabila Muhamad Iqmal Amran meledak gol kedua pada minit ke-90+1, sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik pasukan itu.

Keputusan berkenaan menyaksikan Sabah dan Terengganu masing-masing mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan, manakala Sarawak masih tanpa mata.

AKSI skuad bola sepak lelaki Sarawak ketika menentang Sabah dalam saingan Kumpulan A Sukma XXI Selangor 2026 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.

Sarawak kini berdepan tugas getir apabila dijadual menentang Terengganu pada Sabtu ini, dengan kemenangan menjadi keperluan bagi menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir.

Untuk rekod, skuad Bujang Senang menyasarkan sekurang-kurangnya tempat di suku akhir pada temasya kali ini.

Oleh Shahrul Qaizat