KUCHING: Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak terus merosot apabila lapan daripada 13 stesen pemantauan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9.00 malam ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Kualiti Alam Sekitar (MyEQMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi di Sarawak iaitu 197, hanya tiga mata sebelum memasuki kategori sangat tidak sihat yang bermula pada bacaan 201.
Samarahan pula merekodkan bacaan 181, diikuti Kuching (179), manakala Sarikei (159), Sri Aman (156), Bintulu (132), Miri (110) dan Sibu (105) turut mencatatkan tahap tidak sihat.
Keadaan itu didorong kepekatan zarah halus PM2.5 yang menjadi pencemar utama dalam bacaan kualiti udara di kawasan terbabit.
Sementara itu, lima stesen pemantauan lain masih merekodkan tahap sederhana, dengan Mukah mencatat bacaan 98, Samalaju (95), ILP Miri (86), Limbang (75) dan Kapit (66).
Bacaan di Kapit merupakan yang terendah dalam kalangan 13 stesen pemantauan yang direkodkan setakat 9.00 malam.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah asma dan penyakit respiratori, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah ketika keadaan kualiti udara tidak sihat.
Disarankan juga memakai pelitup muka ketika berada di luar bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah halus di udara.
Oleh Afiq Sallehi





