IGAN:Pencapaian Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti
Sarawak (GPS) setakat ini adalah berfakta dan bukan hanya dari segi
teori semata-mata.
Selain melaksanakan projek-projek pembangunan tempatan, Kerajaan
GPS juga telah mengambil alih beberapa projek di negeri ini yang
dibatalkan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,antara projek yang dilaksanakan ialah pembinaan jambatan-jambatan di pesisir negeri ini.
“Saya boleh katakan pencapaian kita semenjak GPS menerajui negeri ini
bukan dengan ‘air liur’ akan tetapi dengan fakta. Dan kita tidak pernah
berjanji seperti yang lain.
Semenjak tiga tahun saya menjadi Ketua Menteri, kita dah laksanakan sembilan buah jambatan dan semuanya akan siap pada 2024 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis
Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Igan yang diadakan di Pasar Igan
di sini, semalam.
“Jambatan Batang Igan ini misalnya telah lama hendak dibina iaitu
semenjak Barisan Nasional (BN) memerintah lagi, namun setelah
Pakatan Harapan (PH) mengambil alih mereka batalkan projek ini.
Walaupun, kita bersyukur kerana Kerajaan GPS yang tidak terikat
dengan PH ketika itu bersedia untuk meneruskannya dengan peruntukkan kerajaan negeri. Justeru hari ini, ia telah menjadi kenyataan dengan majlis pecah tanah dan dengan secara langsung menunaikan hasrat itu,” tegas beliau.
Abang Johari menjelaskan, dalam pelaksaanaan pembinaan berkenaan,
Kerajaan GPS juga meneruskan aspirasi Allahyarham Pehin Sri Adenan
Satem yang tidak mengenakan tol pada semua jambatan di negeri ini
pada ketika itu.
“Justeru, Kerajaan Negeri sedia ada akan meneruskan tanpa tol bagi
semua jambatan di negeri ini. Jambatan Batang Igan ini yang merupakan jambatan keempat dilaksanakan Kerajaan GPS di Kawasan Bahagian Mukah ini, bila siap kelak turut mempunyai rupa bentuk yang ikonik sekali gus mengalah jambatan di Putrajaya yang bertol,” ujarnya lagi.
Beliau mendedahkan rangkaian jalan pesisir merangkumi sebanyak sembilan buah jambatan iaitu Batang Rambungan, Sungai Krian, Batang
Igan, Batang Rajang, Saribas, Batang Paloh, Muara Lassa dan Jepak selain Jambatan Batang Lupar yang terpanjang dengan jarak tujuh kilometer.
Untuk membiayai projek-projek berimpak tinggi itu, katanya, pelbagai usaha telah diambil Kerajaan GPS, umpamanya penubuhan bank sendiri
iaitu Development Bank of Sarawak, memperolehi hasil tambahan sebanyak RM3 billion daripada PETRONAS dan juga sumber-sumber yang sedia ada dari negeri ini.
Sementara itu pada sidang media beliau berkata, Jambatan Batang Igan
adalah amat strategik untuk kawasan Mukah keseluruhannya.
“Jambatan Batang Igan ini sangat strategik di kawasan Mukah dan
adalah penghubung terakhir jambatan di kawasan ini. Dari segi reka
bentuknya unik atas ilham orang Igan sendiri termasuk wakil
rakyatnya.
“Dengan ini keseluruhan kawasan Mukah akan dihubungi dari Jalan Pasi
ke Tanjung Manis, Jambatan Rejang, Jambatan Paloh, Jambatan Lassa dan Jambatan Batang Igan. Ini memberi potensi yang cerah bagi Industri pertanian dan perternakan, pemprosesan di Tanjung Manis,termasuk industri perkapalan di Muara Paloh sekali gus akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di kawasan ini,” tambah Abang Johari.
Jelas beliau, infrastruktur tersebut bukan hanya di kawasan pesisir,
malah turut memberi impak di kawasan lain seperti Baleh, Ulu Rajang,
Lawas Limbang dan seluruh Sarawak.
“Selain infrastruktur perhubungan itu, Kerajaan GPS juga memfokuskan
pembekalan air bersih dan elektrik di luar bandar khususnya ke rumah
panjang. Kita berharap dengan ini ekonomi akan berkembang,
termasuk dalam bidang pertanian,” katanya.
Beliau seterusnya berharap pendekatan strategik kerajaan bakal
memperkasakan digital ekonomi yang telah diperkenalkan oleh beliau
semenjak menerajui Sarawak tiga tahun lalu.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.
Selepas simbolik perasmian, Johari juga menyampaikan Pampasan Tanah Projek Pembinaan Jalan Kampung Igan ke Rumah Panjang Sg Ilas dan Kampung Sah, Kebuaw, Batang Igan, Fasa 1 dan penyampaian Surat Setuju Terima Kepada Kontraktor.
Ia diikuti dengan Upacara Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Igan di Pengkalan Feri Igan, Lawatan Tapak Projek Benteng Kawalan Hakisan Tebingan Sungai Igan, Lawatan dan Perasmian Projek Tapak Kaul Igan, Lawatan Kerja ke Projek Perumahan Spektra Permata Igan dan Lawatan dan Perasmian Sub-Station Pertanian Igan.
Oleh Henry Siyu