SELEPAS 63 tahun pembentukan Malaysia, persoalan yang paling penting bukan lagi sekadar sama ada rakyat Malaysia memiliki identiti kebangsaan.
Persoalan lebih bermakna ialah mengenai bentuk identiti kebangsaan yang telah kita bina, tahap identiti itu yang benar-benar berakar dalam kehidupan seharian, dan sama ada setiap warga merasakan dirinya diiktiraf secara tulen sebagai sebahagian daripada kolektiviti Malaysia.
Dari sudut sosiologi, pembinaan negara bangsa tidak pernah menjadi suatu projek sejarah yang selesai sepenuhnya.
Pembentukan sesebuah negara dapat ditandai melalui dokumen perlembagaan, sempadan wilayah dan institusi politik, tetapi pembentukan sebuah bangsa memerlukan sesuatu yang jauh lebih mendalam, iaitu makna bersama, kepercayaan sosial, ingatan kolektif dan rasa memiliki yang berterusan.
Benedict Anderson mengemukakan gagasan terkenal tentang bangsa sebagai ‘komuniti yang dibayangkan’ (imagined communities). Hal ini tidak bermaksud bahawa bangsa itu bersifat khayalan atau tidak nyata.
Sebaliknya, sebahagian besar rakyat sesebuah negara tidak akan pernah bertemu antara satu sama lain, namun mereka tetap mampu membayangkan diri mereka sebagai anggota kepada sebuah komuniti nasional yang sama.
Dalam konteks Malaysia, negara ini tidak wujud hanya kerana wilayah-wilayahnya tergabung dalam satu peta politik. Malaysia wujud kerana rakyat di Kuching, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru dan pelbagai pelosok negara mampu membayangkan bahawa mereka berkongsi suatu takdir politik, sosial dan kebangsaan yang sama.
Lebih enam dekad
Terdapat asas yang kukuh untuk mengatakan bahawa kesedaran ke-Malaysia-an ini telah semakin berkembang. Rakyat Malaysia kini berinteraksi dengan lebih luas merentasi batas etnik, agama, wilayah dan bahasa melalui pendidikan, pekerjaan, migrasi, budaya popular, sukan serta komunikasi digital.
Namun demikian, identiti Malaysia pada hakikatnya bersifat berlapis-lapis dalam konteks etniksiti dan keterikatan wilayah atau negeri tetapi pada masa sama, memiliki rasa kebangsaan Malaysia yang mendalam.

Agama, bahasa, lokaliti, asal-usul keluarga dan pengalaman sejarah menambahkan lagi lapisan kepada identiti seseorang. Sosiologi mengajar kita bahawa identiti-identiti ini tidak semestinya saling bercanggah. Individu moden hidup dalam pelbagai identiti sosial secara serentak.
Cabaran sebenar bukan untuk menghapuskan identiti-identiti tersebut, tetapi untuk membina sebuah tatanan politik dan sosial yang membolehkan semuanya hidup secara bersama tanpa menghasilkan peminggiran atau permusuhan.
Atas sebab inilah Malaysia tidak wajar menyamakan perpaduan nasional dengan keseragaman budaya.
Perpaduan tidak menuntut kesamaan
Ujian sebenar bagi sesebuah masyarakat majmuk yang matang ialah sama ada masyarakat yang berbeza mampu terus mengiktiraf antara satu sama lain sebagai anggota yang sah, setara dan bermaruah dalam komuniti politik yang sama.
Di sinilah pentingnya konsep kohesi sosial. Sebuah masyarakat yang mempunyai kohesi sosial yang tinggi bukanlah masyarakat yang semua warganya bersetuju dalam segala hal. Sebaliknya, ia ialah masyarakat yang mampu mengurus perbezaan tanpa memusnahkan asas hubungan kewarganegaraan.
Rakyat boleh berbeza dari segi politik, budaya dan agama, namun tetap menghormati institusi bersama, mengiktiraf maruah antara satu sama lain serta mempercayai bahawa masa depan mereka saling berkaitan.
Dalam konteks Malaysia, kohesi sosial sangat bergantung pada kepercayaan yang mekanismenya menegak dan mendatar. Kepercayaan menegak merujuk kepada keyakinan rakyat terhadap institusi, kerajaan, undang-undang dan autoriti awam. Kepercayaan mendatar pula merujuk kepada hubungan antara komuniti dan antara individu.
Sesebuah negara menjadi rapuh dari sudut sosial apabila rakyat bukan sahaja hilang kepercayaan terhadap institusi, tetapi juga mula hilang kepercayaan terhadap sesama warga.
Kepentingan modal sosial
Konsep ini diperkenalkan oleh Robert Putnam turut sangat berguna dalam memahami keadaan ini. Bonding social capital atau modal sosial pengikat mengukuhkan hubungan dalam kelompok sendiri, sama ada keluarga, etnik, agama atau komuniti setempat. Ia penting kerana membentuk solidariti, rasa selamat dan sokongan dalaman.
Namun, masyarakat majmuk juga memerlukan bridging social capital atau modal sosial penghubung, iaitu hubungan yang merentasi sempadan sosial dan menghubungkan individu dengan kelompok yang berbeza daripada dirinya.
Generasi muda Malaysia perlu diberi lebih banyak peluang untuk berinteraksi secara bermakna dengan mereka yang berada di luar lingkungan sosial sendiri.
Sekolah, universiti dan institusi awam perlu memperbanyak program yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta komuniti daripada latar etnik, agama dan sosioekonomi yang berbeza.
Hal ini selari dengan hipotesis kontak (contact hypothesis) dalam psikologi sosial dan sosiologi yang menjelaskan bahawa, dalam keadaan tertentu, interaksi yang bermakna antara kelompok mampu mengurangkan prejudis dan stereotaip.
Manusia menjadi jauh lebih sukar untuk dilabel atau digambarkan secara simplistik apabila kita benar-benar mengenali mereka sebagai individu.
Atas sebab itu, perpaduan nasional tidak boleh dibina melalui kempen, slogan, kibaran bendera atau ucapan seremonial semata-mata. Perpaduan mesti diterjemahkan menjadi suatu realiti sosial yang dialami.
Seorang pelajar dari Kuala Lumpur yang tinggal dan berinteraksi dengan masyarakat di Kapit, misalnya, akan memahami Sarawak dengan jauh lebih mendalam berbanding diperoleh daripada buku teks semata-mata.
Begitu juga seorang anak muda dari Sarawak atau Sabah yang mengalami kehidupan komuniti di Kelantan, Pulau Pinang atau Johor akan memperoleh pemahaman yang lebih kaya tentang Semenanjung.
Interaksi seperti inilah yang membentuk apa yang boleh disebut sebagai nilai kebangsaan dalam kehidupan seharian (everyday nationhood), iaitu proses biasa dan rutin melalui apabila rakyat menghayati diri mereka sebagai sebahagian daripada bangsa yang sama.
Cabaran zaman digital membawa cabaran baharu
Media sosial telah memperluas komunikasi, tetapi pada masa sama memudahkan fragmentasi sosial. Algoritma boleh menempatkan seseorang dalam gelembung maklumat atau echo chamber, iaitu individu hanya berulang kali menerima pandangan yang hampir sama dengan kepercayaannya sendiri.
Lama-kelamaan, perbezaan politik, etnik atau agama boleh diperbesar sehingga menghasilkan jarak sosial yang lebih luas. Generasi muda boleh menjadi semakin terhubung dari segi teknologi, tetapi semakin jauh dari segi sosial.
Oleh itu, Malaysia memerlukan bukan sahaja literasi digital, tetapi juga literasi kewarganegaraan dan literasi sosiologikal, iaitu keupayaan memahami perbezaan secara kontekstual, mengenal pasti stereotaip, menilai maklumat secara kritikal dan memahami bahawa identiti bukanlah kategori beku yang menentukan bagaimana seseorang mesti berfikir atau bertindak.
Pengiktirafan
Sosiologi pengiktirafan menegaskan bahawa masyarakat bukan sahaja memerlukan sumber material, tetapi juga maruah, penghormatan dan pengiktirafan terhadap sejarah, bahasa serta budaya mereka.
Dalam konteks Malaysia, Sabah dan Sarawak perlu difahami sebagai wilayah konstitutif pembentukan Persekutuan pada 1963, bukan sekadar wilayah pinggiran. Naratif nasional yang terlalu terpusat boleh menghasilkan misrecognition apabila pengalaman masyarakat Borneo kurang diwakili.
Maka,imaginasi kebangsaan mesti benar-benar bersifat federal, merangkumi perspektif Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. Hari Malaysia wajar menjadi ruang memperkukuh rasa pemilikan bersama, termasuk melalui cadangan Minggu Penghayatan Malaysia di sekolah, universiti, media, muzium dan institusi awam.
Pelajar boleh dilibatkan secara lebih progresif dalam pertukaran antara wilayah, projek sejarah lisan, penghayatan budaya, khidmat komuniti dan dialog tentang pembentukan Malaysia.
Universiti pula boleh memperluas wacana mengenai federalisme, kewarganegaraan pelbagai budaya dan integrasi nasional, manakala media perlu memberi ruang lebih besar kepada sejarah komuniti yang kurang terwakili.
Pendekatan ini mengubah Hari Malaysia daripada ritual simbolik kepada proses pembelajaran sosial. Masa depan negara bergantung pada pembinaan kewarganegaraan inklusif, iaitu rasa memiliki tanpa menuntut seseorang mengorbankan identiti budayanya.
Negara yang kukuh bukanlah negara yang homogen, tetapi negara yang mampu mengubah kepelbagaian menjadi kekuatan sosial.
Selepas 63 tahun, persoalannya bukan sekadar sama ada kita sudah bersatu, tetapi sama ada rakyat saling mempercayai, berasa diiktiraf dan melihat masa depan bersama.
Malaysia memerlukan perpaduan melalui pengiktirafan, solidariti melalui perbezaan dan kewarganegaraan berasaskan kebersamaan. Itulah makna sebenar Hari Malaysia.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.




