BELAGA: Penduduk diingatkan supaya tidak mengusik sebarang penyambungan kepada meter elektrik demi keselamatan dan mengelak sebarang bencana.
Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar), Datuk Liwan Lagang berkata, untuk tindakan penyambungan tersebut disarankan agar mendapat khidmat atau nasihat daripada pihak Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Misalnya tidak mengusik sebarang penyambungan kepada meter dan memasang terlalu banyak pekakas elektrik di dalam bilik sehingga melebihi bebanan, katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Hakmilik SARES Fasa 4, Daerah Belaga di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Belaga, semalam.
Antara penerima hak milik SARES adalah daripada komuniti Uma Penan, Long Lidem, Uma Penan, Long Abit, Uma Penan, Long Tanyit, Naha Jalei, Kabuho Panjang dan Uma Punan, Punan Sama.
Sementara itu, sekitar 1,000 penduduk dari 173 isi rumah di lima buah Rumah Panjang Belaga, Kapit kini mendapat akses percuma 24-jam elektrik boleh diperbaharui, di bawah Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).
“Sistem ini akan bertahan lama dan dapat digunakan sebaik mungkin sekiranya dijaga dengan betul,” katanya.
Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga berharap pihak SEB akan memberi latihan pengendalian serta maklumat kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Tuai Rumah berhubung perkara terbabit.
Turut hadir, ADUN Murum,Kennedy Chuk Pai Ugon dan Timbalan Presiden Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak Energy Berhad, Dr Chen Shiun.
Oleh Ellie Edward