RASMI… Datuk Julaihi Narawi merasmikan IRIX Baram Sarawak Internet Cable Syestem (BaSICS) dan Tier IV
Data Canter di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi semalam menegur syarikat telekomunikasi yang terlalu fokus kawasan bandar.
Katanya, syarikat berkenaan kurang memberi perhatian untuk kawasan luar bandar kerana memikirkan kurang menguntungkan.
Beliau berkata, sekarang ini kerajaan Sarawak membina 600 menara telekomunikasi dan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) sedang memasang peralatan telekomunikasi di setiap menara yang sudah siap dibina.
“Harapan saya adalah setiap pengendali rangkaian internet seperti Celcom, Maxis, Digi, Umobile dan lain-lain boleh menggunakan menara tersebut.
“Tetapi, fokus mereka lebih tertumpu di kawasan bandar kerana bagi mereka di luar bandar kurang mendapat keuntungan.
“Kami akan teruskan usaha bagi menggalakkan mereka untuk meluaskan perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Irixs Batam Internet Cable System (BaSICS) dan Tier IV Data Centre di Pusat Konvensyen Borneo Kuching(BCCK), semalam.
Julaihi mengulangi bahawa Sarawak memerlukan sekitar 7,000 menara telekomunikasi bagi menghubungkan seluruh negeri ini dengan liputan internet.
Setakat ini, katanya, hampir 3,500 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak sudah dibina dan 1,043 sedang dalam proses pembinaan.
Beliau menjelaskan bahawa untuk menyiapkan 7,000 menara telekomunikasi memerlukan masa.
“Oleh itu, apabila pembinaan menara ini sudah siap, saya mohon supaya semua pengendali rangkaian internet untuk mengambil peluang menggunakan menara yang dibina supaya liputan internet ini boleh sampai di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak sendiri sedang membina 600 menara telekomunikasi yang akan dibahagikan kepada dua fasa, iaitu fasa pertama dan kedua.
“Pada fasa pertama, 300 menara akan dibina dan 300 lagi akan dibina pada fasa kedua,” katanya.
Julaihi berkata, kerajaan Sarawak membelanjakan sekitar RM2 bilion bagi memastikan seluruh negeri mendapat liputan internet khususnya kawasan pedalaman.
“Saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia kerana telah meluluskan dana RM4 bilion bagi memudahkan urusan pembinaan dan pemasangan alat komunikasi di Sarawak.
“Saya berharap apabila ada kemudahan seperti ini, kita dapat memberi peluang kepada syarikat dan pemain industri dalam telekomunikasi di Sarawak menggunakan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT