KUCHING, 5 OKTOBER: Sarawak menyasarkan ekonomi negeri berkembang kepada RM282 bilion menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata sasaran itu turut melibatkan usaha meningkatkan pendapatan isi rumah dan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih baik untuk rakyat.
“Pencapaian sasaran berkenaan memerlukan Sarawak memperkukuh industri sedia ada serta membangunkan keupayaan dalam aktiviti ekonomi baharu dan bernilai lebih tinggi. Teknologi tidak boleh dipisahkan daripada PCDS 2030.
“Pendigitalan perlu membantu perniagaan meningkatkan produktiviti dan daya saing, manakala kesalinghubungan membuka akses kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang.
“Kemajuan digital juga perlu dinilai berdasarkan kemampuan mewujudkan syarikat lebih berdaya saing, membangunkan kepakaran tempatan, menarik pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi dan menyediakan peluang kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambah beliau, Sarawak sedang membangunkan keupayaan dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kesalinghubungan canggih, infrastruktur pintar, tenaga boleh baharu dan ekonomi angkasa.

“Sarawak sudah mempunyai kekuatan dalam tenaga boleh baharu, sumber asli, biodiversiti dan infrastruktur digital yang semakin berkembang.
“Pembangunan teknologi perlu disusuli laluan daripada penyelidikan kepada aplikasi, inovasi kepada komersialisasi dan keupayaan kepada industri,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kerajaan, industri, universiti, penyelidik, pelabur dan usahawan perlu memainkan peranan masing-masing dalam proses itu.
“Sarawak turut merancang menubuhkan ‘Space Agency’ dan melancarkan nanosatelit pertama menjelang 2030.
“Keupayaan berkenaan akan membolehkan penggunaan data berasaskan angkasa untuk perancangan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan sumber,” ujarnya.
Untuk rekod, IDECS 2026 memasuki edisi kesembilan dengan tema “Memperkasa Ekosistem Inovasi untuk Ekonomi Tanpa Sempadan: Bumi, Orbit dan Melangkaui”
IDECS26 berlangsung selama dua hari, dari hari ini hingga esok di BCCK yang menghimpunkan pemain industri, pelabur, penyelidik, penggubal dasar dan inovator bagi membincangkan perkembangan teknologi serta ekonomi digital.
Oleh Masrin Affirah




