ROBAN: Perkhidmatan menggunting rambut jika diusahakan dengan baik boleh membantu menjana pendapatan sampingan belia sekali gus boleh membantu komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, pelbagai cara dapat dilakukan bagi menjana pendapatan sampingan termasuk menyediakan perkhidmatan menggunting rambut.
“Saya amat memuji atas usaha yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) dengan menganjurkan kursus ini bagi memberi peluang kepada golongan belia terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
“MINTRED begitu komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan daripada golongan belia melibatkan diri dalam industri gunting rambut secara profesional di negeri ini.
“Sekarang ini, belia telah diberi pendedahan dan berkeyakinan pasarannya sangat tinggi yang sememangnya ramai permintaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Keusahawanan Pelbagai Kemahiran: Menggunting Rambut bertempat di Dewan Serbaguna Roban semalam.
Seramai 30 peserta telah mengikuti kursus berkenaan yang dianjurkan oleh MINTRED selama dua hari itu.
Abdul Wahab berkata, selain menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan menggunting rambut di rumah, pekerjaan ini boleh juga dibuat dengan menggunakan motosikal untuk pergi ke rumah yang membuat tempahan.
Katanya, industri itu kurang mendapat perhatian sedangkan ia merupakan perniagaan yang mampu bertahan dalam apa juga keadaan ekonomi.
“Dengan peluang yang ada melalui penglibatan dalam penganjuran kursus ini, saya percaya golongan belia amnya dapat menaikkan ekonomi mereka melalui industri pengguntingan rambut sekali gus memperoleh pendapatan lumayan dengan bekerja sendiri.
“Seperti yang kita tahu tidak ramai golongan belia sebelum ini menceburi bidang ini, jadi ini adalah merupakan platfrom terbaik untuk golongan terbabit meningkatkan kemahiran mereka di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman