SIMANGGANG: Dakwaan segelintir pihak kononnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak mengalami proses pembangunan adalah tidak berasas sama sekali.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beberapa projek pembangunan sudah dan sedang dilaksanakan di sini semenjak dari dahulu hingga sekarang.
Antara projek pembangunan yang sedang dilaksana katanya adalah pembinaan Jambatan Batang Lupar Kedua (termasuk jalan raya) bernilai RM230 juta di Sembauh dan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM42 juta di Batu Lintang, Undop.
“Selain itu terdapat banyak lagi projek pembangunan yang sudah dilaksanakan di sini seperti pelebaran jalan raya, pembinaan hospital baharu, naik taraf loji perawatan air, pembinaan jambatan konkrit dan jalan kampung.
“Bagaimanapun mereka tetap mendakwa kawasan ini tiada pembangunan…justeru adalah penting untuk semua rakyat menyebar berita seumpama ini daripada mendengar dakyah pihak berkenaan,” kata beliau.
Harden yang juga ADUN Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info In Wheel Merdeka (Perhimpunan Sivik) anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Daerah Sri Aman di Rumah Anjar Eddie, Kampung Sinjor di sini.
Hadir sama Residen Sri Aman, Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Pemangku Pegawai JaPen Daerah Sri Aman, Jesseca Gilbert Bunsu, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Doris Synia.
Beliau pada program itu menyerahkan Kenyalang Gold Card kepada 11 penerima di samping menyampaikan elaun bantuan RM300 sebulan kepada dua penerima dan tongkat alat bantu berjalan kepada dua warga emas.
Oleh Valentine Ngumbang