KEHIDUPAN di bumi ini tidak pernah sunyi daripada catatan ujian dan rintangan buat setiap jiwa. Ada yang diuji dengan kesempitan rezeki, kehilangan orang tersayang, kegagalan dalam kehidupan dan kekecewaan terhadap sesuatu yang diharapkan.
Ada yang diuji dengan kesenangan, kekayaan, pangkat dan kedudukan. Sekalipun bentuk ujian yang hadir itu berbeza-beza, ia hakikatnya menyedarkan kita bahawa dunia ini bukan destinasi untuk mencari kesempurnaan, melainkan gelanggang untuk menilai keimanan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah memahami bahawa setiap perkara yang berlaku berada dalam pengetahuan dan ketentuan Allah SWT. Tidak semua perkara yang kita inginkan akan menjadi kenyataan, dan tidak semua perkara yang kita takuti akan berlaku seperti yang dibayangkan. Kadangkala yang kita cintai membawa musibah, manakala yang kita benci menyimpan hikmah.
UJIAN KEHIDUPAN SEBAGAI JALAN MENGUATKAN IMAN
Ujian merupakan sebahagian daripada ketentuan Allah SWT dalam kehidupan manusia. Allah SWT tidak menjanjikan bahawa orang yang beriman akan terlepas daripada kesusahan, sebaliknya keimanan seseorang akan diuji untuk membuktikan sejauh mana keyakinan dan pergantungannya kepada Allah SWT.
Melalui ujian, seseorang dapat mengenali kelemahan dirinya, memperbaiki kesilapan dan meningkatkan kualiti hubungan dengan Penciptanya. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155-156: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Ayat ini menghuraikan bahawa ujian akan hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk ketakutan, kesempitan hidup, kehilangan harta dan kematian orang tersayang.
Walaupun setiap dugaan ini mampu menggugat ketenangan jiwa dan menguji ketahanan hati, Allah SWT tetap menjanjikan ganjaran yang manis buat mereka yang tabah menempuhnya.
Firman Allah SWT: “ Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah ayat 5-6)
Sabar tidak bermakna kita perlu menahan air mata, menyembunyikan kesedihan, atau memendam perasaan. Hakikatnya, kesabaran yang sebenar adalah keupayaan menjaga tingkah laku agar sentiasa berada di landasan keredaan Allah SWT, tidak sesekali hilang harapan pada kasih sayang-Nya, serta cekal berusaha mencari jalan penyelesaian.
Seseorang boleh berasa sedih apabila kehilangan insan tersayang, tetapi kesedihan itu tidak seharusnya menyebabkan dirinya menyalahkan Allah SWT atau meninggalkan kewajipan agama.
Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa ujian boleh menjadi tanda kebaikan yang Allah SWT kehendaki kepada seseorang. Baginda bersabda: “Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah SWT, maka Dia akan memberinya ujian(musibah).”
Setiap ujian yang datang tidak menandakan seseorang itu dibenci atau dihukum oleh Allah SWT. Ujian boleh menjadi asbab terhapusnya dosa, meningkatnya darjat dan bertambahnya kebergantungan seseorang kepada Allah SWT.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh memastikan bahawa setiap musibah yang menimpa seseorang mempunyai satu sebab tertentu kerana hikmah sebenar sesuatu kejadian mungkin tidak diketahui oleh manusia.
Manusia yang terbaik dari kalangan umat Rasulullah SAW

DARI Abdullah bin Salamah, beliau berkata, “Aku mendengar Ali berkata, “Sebaik-baik manusia setelah Rasulullah SAW adalah Abu Bakar dan sebaik-baik manusia setelah Abu Bakar adalah Umar”. (Riwayat Ibnu Majah)
Para sahabat sangat memahami kedudukan Abu Bakar di sisi Rasulullah SAW. Dengan itu, mereka sendiri mengiktiraf bahawa Saidina Abu Bakar adalah manusia yang paling mulia dari kalangan mereka.
Kedudukannya masih hidup, di dalam Islam pada masa Rasulullah SAW pada masa kekhalifahannya hingga setelah wafatnya sememangnya tiada tolok bandingannya.
Abdullah bin Umar berkata, “Ketika itu kami membanding-bandingkan darjat kebaikan orang-orang di masa Rasulullah SAW. Maka kami menyenaraikan mengikut turutan mulai dari Abu Bakar, kemudian Umar bin Khattab, kemudian Uthman bin Affan”.
Semasa zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab, telah datang sekelompok manusia kepada Saidina Umar lalu mereka berkata, “Demi Allah SWT, tidak ada seorang pun yang lebih adil dalam memutuskan perkara, lebih berani berkata benar dan lebih tegas terhadap kaum munafik selain daripada engkau wahai Amirul Mukminin. Engkau adalah manusia terbaik setelah Rasulullah SAW”. Mendengar kata-kata mereka itu, Auf bin Malik terus berkata, “Kamu semua salah. Demi Allah SWT, kami telah melihat orang yang lebih baik dari Umar setelah Rasulullah”. Mereka pun bertanya, “Siapakah dia wahai Auf?”. Maka Auf bin Malik pun menjawab, “Abu Bakar”. Saidina Umar pun berkata, “Auf benar dan kamu semua salah. Demi Allah SWT, Abu Bakar lebih baik daripada minyak wangi dan aku lebih sesat dari pada unta peliharaan (ketika zaman jahiliyyah)”.
Dalam sebuah riwayat yang lain pula, sekumpulan dari penduduk Kufah dan Basrah pergi menemui Saidina Umar di Madinah.
Ketika mereka tiba di Madinah, terjadi perbualan di kalangan mereka sehingga dalam perbualan tersebut, mereka membicarakan tentang perbandingan di antara kedudukan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Sebahagian daripada mereka menganggap bahawa Saidina Abu Bakar lebih baik daripada Saidina Umar. Manakala sebahagian yang lain pula menganggap sebaliknya.
Intipati perbualan mereka itu telah sampai ke pengetahuan Saidina Umar. Maka Saidina Umar pun naik ke atas mimbar, lalu beliau memanjatkan puji-pujian dan syukur kepada Allah SWT.
Kemudian beliau berkata, “Ketahuilah bahawa manusia terbaik dikalangan umat ini setelah Nabinya adalah Abu Bakar. Siapa yang berpendapat selain itu setelah ini, maka dia merupakan orang yang dusta. Dia akan mendapat dosa sepertimana dosa pendusta”.




