
SEBUYAU: Persiapan akhir bagi majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 1 kini berada pada fasa akhir menjelang upacara gilang-gemilang yang dijadualkan berlangsung esok.
Majlis perasmian ikonik itu bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bagi memastikan segalanya berjalan tanpa sebarang masalah, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini telah turun padang bagi meninjau sendiri persiapan tersebut.
Langkah proaktif itu dilakukan menerusi satu sesi raptai penuh yang dikendalikan secara rapi di tapak projek. Sesi tersebut bertujuan menguji kesiapsiagaan semua pihak sebelum hari kemuncak acara.
Raptai penuh berkenaan melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.
Fokus utama diberikan kepada penyelarasan aspek protokol, kawalan keselamatan, logistik, teknikal, serta pengurusan acara secara menyeluruh demi memastikan majlis berlangsung dengan lancar dan teratur.

Turut menyertai tinjauan berkenaan ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, serta Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, bersama barisan pegawai kanan daripada agensi-agensi terlibat.
Untuk rekod, Jambatan Batang Lupar 1 sebenarnya telah mula dibuka kepada orang awam sejak 21 Mei yang lalu sempena majlis pra-pelancarannya, sekali gus memberikan keutamaan kepada rakyat untuk menikmati kemudahan tersebut lebih awal.
Sejak mula beroperasi, struktur mega ini terbukti berjaya memperkukuh kesalinghubungan domestik, meningkatkan kebolehcapaian kawasan luar bandar, serta memudahkan mobiliti harian penduduk setempat.
Impak positif ini secara langsung menyokong pertumbuhan ekonomi setempat dan merancakkan lagi agenda pembangunan di seluruh kawasan pesisir Sarawak.
Dari sudut teknikal, Jambatan Batang Lupar 1 direka sebagai jambatan dua lorong jenis sehala yang merentasi Sungai Batang Lupar. Struktur yang gah ini dilengkapi dengan 87 pier sungai dan dibina mengikut standard kejuruteraan JKR R5 yang tinggi.
Mempunyai panjang keseluruhan mencecah 4,884 meter, projek mega ini diiktiraf sebagai antara struktur jambatan paling signifikan dan terpanjang yang pernah dibangunkan di Sarawak.
Oleh Adi Safarman