
SEBUYAU: Kejayaan pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 membuktikan kemampuan kontraktor tempatan melaksanakan projek infrastruktur bertaraf dunia walaupun berdepan pelbagai cabaran teknikal dan logistik sepanjang tempoh pembinaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Ir Cassidy Morris berkata, antara cabaran utama projek itu ialah faktor pembinaan di kawasan kuala sungai yang dipengaruhi ombak, pasang surut air serta keadaan kedalaman sungai dan arus yang sentiasa berubah.
Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu turut menyukarkan kerja pembinaan struktur jambatan sepanjang 4.84 kilometer itu.
“Cabaran utama kita membina jambatan ini adalah kerana ia dibina di kawasan kuala sungai. Ombak, pasang surut air, kedalaman sungai dan kelajuan arus menjadi antara faktor yang menyukarkan pembinaan.
“Apabila membina satu struktur besar di kawasan seperti ini, sudah tentu banyak cabaran terutama ketika cuaca buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 1 di Sebuyau, hari ini.
Cassidy berkata, pihak kontraktor, Perbena Emas Sdn Bhd berjaya melaksanakan projek tersebut dengan cemerlang termasuk menggunakan kaedah pembinaan agresif bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.

“Mereka menggunakan tongkang untuk membina tiang-tiang jambatan dan itu mempercepatkan proses pembinaan.
“Tiada masalah dari segi kelajuan pembinaan dan kontraktor juga sangat cekap terutama pada peringkat akhir penyiapan projek,” katanya.
Beliau berkata projek berkenaan melibatkan kerja cerucuk sedalam 90 meter dengan keseluruhan 87 tiang jambatan sekali gus menjadikannya antara projek jambatan paling kompleks pernah dibina di Sarawak.
Katanya, selain struktur utama jambatan, pihak kontraktor turut membina jalan masuk dari Sebuyau dan Triso yang melalui kawasan berpaya sehingga memerlukan proses penempatan tanah sebelum siap sepenuhnya.
“Walaupun ada sedikit kelewatan akibat pandemik Covid-19, projek ini akhirnya berjaya disiapkan tanpa perlu menukar kontraktor.
“Kontraktor ini menunjukkan komitmen yang sangat baik. Pekerja sentiasa mencukupi malah melebihi jumlah diperlukan dan bahan binaan juga diurus dengan teratur walaupun sebahagiannya dibawa masuk dari luar Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, aspek kawalan kualiti turut diberi perhatian sepenuhnya sepanjang pembinaan projek tersebut.
“Tiada masalah dari segi kawalan kualiti dan semua bahan binaan telah diperiksa serta dinilai berada pada tahap terbaik.
“Jambatan ini bertaraf dunia dan Sarawak mampu membina infrastruktur seperti ini. Ini yang membanggakan JKR Sarawak,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat