
SEBUYAU: Demikian luahan hati penuh keceriaan Penghulu Iban kawasan Sebangan, Japang Sudin yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pelbagai pembangunan infrastruktur yang dibawa kerajaan Sarawak ke kawasan luar bandar, khususnya di Sebuyau.
Beliau berkata, pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 menjadi bukti nyata transformasi pembangunan yang dinikmati rakyat di kawasan pesisir yang sekian lama bergantung kepada perkhidmatan feri.
Menurutnya, detik penantian panjang itu akhirnya berakhir apabila kemudahan jambatan berkenaan kini membawa perubahan besar yang menceriakan kehidupan harian penduduk setempat, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Gawai Dayak yang bakal tiba.
Katanya, sebelum ini penduduk sering berdepan cabaran besar ketika menggunakan perkhidmatan feri, terutama apabila cuaca tidak menentu, angin kuat dan keadaan sungai bergelora.
“Apabila angin kuat dan ombak besar, perjalanan memang mencabar. Ada kalanya kami terpaksa menunggu lama di jeti demi keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, kini suasana jauh lebih ceria apabila penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada jadual feri, sebaliknya menikmati kemudahan perjalanan lebih cepat dan selesa untuk membuat persiapan serta pulang menyambut Gawai bersama keluarga.
“Sekarang lebih mudah untuk pulang ke kampung, bertemu keluarga dan sanak saudara tanpa perlu lagi bergantung kepada jadual feri seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tungkah Melayu, Hamda Piee berkata, pembinaan jambatan tersebut merupakan impian lama penduduk yang akhirnya menjadi kenyataan hasil usaha berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sebelum ini penduduk berdepan kesukaran ketika menggunakan perkhidmatan feri terutama pada musim hujan dan ketika angin kencang yang boleh menjejaskan keselamatan serta melambatkan perjalanan.
Katanya, dengan ada jambatan itu, kehidupan harian penduduk kini lebih lancar, selamat dan menceriakan, selain memberi impak besar kepada sosioekonomi setempat.
Beliau berharap lebih banyak pembangunan dapat diteruskan di kawasan luar bandar agar rakyat terus menikmati kemudahan yang lebih baik dan seimbang dengan kawasan bandar.
Sementara itu, Dato Wan Abdillah Edruce menyatakan perasaan bangga bercampur sedih dengan pembukaan jambatan tersebut kerana banyak kenangan tercipta ketika menggunakan perkhidmatan feri suatu ketika dahulu.

Menurutnya, kewujudan jambatan itu membawa perubahan besar terutama kepada generasi muda apabila akses perjalanan menjadi lebih mudah, cepat dan selesa selain merapatkan hubungan antara kawasan yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan feri.
Beliau berkata, kemudahan infrastruktur itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan sekitar.
Oleh Norman B